• Misteri Air Warna Merah Keluar Dari Kubur

    Published: Wednesday, 11 October 2017
    A- A+


    KECOH kelmarin di laman Facebook apabila tular satu video menunjukkan cecair seperti darah, keluar dari sebuah kubur di Balikpapan Selatan, Kota Balikpapan, Kalimantan Timur, Indonesia, Isnin lalu.

    Sepantas kilat ekoran tular rakaman video yang berdurasi selama 42 saat itu, kejadian tersebut telah disifatkan sebagai insiden mistik.

    “Kita perlu husnuzon (bersangka baik) dengan apa yang terjadi. Mudah-mudahan si mati tidak membuat kesalahan besar.

    “Tapi jika ada, semoga Allah kembalikan keadaan seperti sedia asal. Semalam juga keluarganya ada datang ziarah dan mereka terkejut dengan apa yang terjadi,” kata individu yang merakamkan video ini.

    Namun, terdapat beberapa penjelasan yang lebih logik kemudian telah didedahkan oleh La Sako, selaku penjaga tanah perkuburan berkenaan.

    Menurutnya, keadaan itu terjadi kerana tanah kubur itu mengalami penurunan dan telah menyebabkan terdapat seperti lubang kecil di situ.

    La Sako telah meminta agar perkara itu tidak dikaitkan dengan kejadian mistik. Ia bagaikan memalukan ahli keluarga si mati kerana apa yang terjadi itu merupakan kejadian yang tidak diingini.

    “Jangan percaya kalau ada yang kata benda ini kejadian misteri, hantu bangun dari kubur. Perkara ini normal sahaja, tiada apa-apa yang perlu ditakutkan.

    “Kebetulan kedudukan kubur itu tidak diletakkan di tanah yang elok. Kami tak boleh biarkan nanti tambah rosak. Lebih baik kami timbus tanah kubur ini,” katanya dipetik daripada portal Tribun News.com

    Selepas kejadian, sekumpulan pelajar jurusan Geologi dari Sekolah Tinggi Teknik Migas Kota Balikpapan telah berminat untuk membuat kajian di kompleks pemakaman itu.

    “Kami datang untuk meninjau keadaan kejadian. Tujuannya bagi melihat apa yang terjadi dan mengaitkan dengan apa yang telah kami pelajari,” ujar Muhammad Aditya yang merupakan salah seorang pelajar sekolah tersebut.

    Mereka akan meneliti sampel air berwarna merah yang muncul di dalam tanah kubur tersebut.

    Pihak Tribun Kaltim telah ke lokasi pada Selasa semalam dan mereka mendapati bahawa tiada lagi air berwarna merah di kubur tersebut.

    “Semalam, kami telah membersihkan dan menimbus tanah di kubur itu setelah mendapat keizinan daripada pihak keluarga si mati,” kata Haidir Ali, salah seorang penjaga kubur bersama La Sako.

    Tujuan mereka membersihkan kubur itu adalah bagi menolak segala anggapan penduduk tempatan kononnya kejadian yang berlaku ada kena mengena dengan perkara mistik.

    Bagi anda pula, adakah kejadian ini berlaku kerana kedudukan tanah yang tidak sesuai? Atau ada kena mengena dengan kejadian mistik yang sering ditunjukkan di kaca tv? – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah

    Subjects:

  • No Comment to " Misteri Air Warna Merah Keluar Dari Kubur "