• Microsoft Bina Pejabat 'Sempoi' Untuk Staf

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    SYARIKAT-syarikat teknologi terbesar di dunia seolah-olah bersaing untuk membina pejabat paling santai atau 'sempoi' untuk pekerjanya, dan kini sebuah lagi binaan telah muncul.

    Jika sebelum ini ibu pejabat kapal angkasa Apple dan pejabat Google dilengkapi bilik urut dengan suasana rumah sendiri menjadi idaman ramai pekerja, Microsoft juga tidak mahu kalah.

    Microsoft telah memberikan saingan kepada syarikat-syarikat terkenal dunia dengan membina rumah atas pokok yang pernah menjadi impian setiap kanak-kanak.

    Kemudahan pejabat baharu untuk kakitangan Microsoft ini merupakan sebuah ruang mesyuarat atau perbincangan yang terletak di ibu pejabat korporatnya di Redmond, Washington.

    Syarikat itu mendedahkan tentang binaan terbarunya ini menerusi blognya baru-baru ini.

    "Untuk sampai ke ruang mesyuarat baharu Microsoft yang paling tidak dijangkakan, mulalah berjalan secara santai di atas laluan kayu yang menyediakan akses ke tingkat atas.

    "Di bahagian atas, bukalah pintu pagar kayu yang dibina dengan ciri keselamatan untuk membolehkan anda berada di ruang tergantung yang diperbuat daripada kayu," tulis syarikat itu.

    Rumah pokok itu terletak hampir empat meter dari atas tanah dan mempunyai dinding dan siling tinggi yang turut diperbuat daripada kayu.

    Dua daun pintunya dapat dilihat dari bahagian luar, di mana bumbung dengan bentuk lengkungan turut dapat disaksikan.

    Pejabat 'rumah pokok' itu dibina oleh Pete Nelson, yang menjadi hos bagi siri Treehouse Master, yang disiarkan di Discovery Channel di Australia.

    Menurut Microsoft, ruang itu bertujuan untuk membantu para pekerja mendapat manfaat daripada apa yang dibuktikan oleh sains bahawa kesan alam sekitar yang kuat mampu mempengaruhi kreativiti, fokus dan kebahagiaan.

    Menurut Bret Boulter, yang membantu mengetuai projek itu, pada pandangan pertama, ia nampaknya berhasil.

    "Pertama sekali, semua orang sangat tenang ketika mula-mula masuk ke dalam ruang ini.

    "Anda berhenti bercakap dan menikmati suasananya," kata Boulter.

    "Ia sangat menakjubkan. Mereka menghayati alam sekitar dan ia mengubah persepsi kerja dan bagaimana mereka boleh melakukannya," katanya.

    Memang benar suasana di luar rumah mampu memberi kesan positif terhadap emosi dan 'mood' anda apabila alam semulajadi merangsang neuron kepuasan di otak manusia.

    Ia mematikan tindak balas tekanan, yang bermaksud anda mempunyai tahap kortisol, kadar denyut jantung dan tekanan darah yang lebih rendah serta tindak balas imun yang lebih baik," tulis pakar perubatan dari Harvard Eva Selhub.

    Jadi Microsoft memutuskan untuk membina pejabatnya di luar bangunan.

    "Kita tidak perlu membawa alam semula jadi ke bandar - kita sendiri bersifat alam semula jadi. Ia hanya terletak di pintu belakang ibu pejabat kami," kata Boulter.- mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Microsoft Bina Pejabat 'Sempoi' Untuk Staf "