• MH17: JIT Bersedia Dakwa Dalang

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia bersama negara dalam Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) siasatan jenayah tragedi MH17 kini dalam proses persediaan bagi mendakwa dalang serangan pesawat berkenaan.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kesemua negara dalam JIT juga meneruskan perbincangan mengenai kerja persediaan pendakwaan termasuklah memperhalusi draf perjanjian persefahaman (MoU) mengenai sokongan kewangan.

    Katanya, sokongan kewangan itu memerlukan komitmen semua negara anggota JIT dengan kos pendakwaan dan siasatan dibiayai secara bersama apabila pendakwaan dilakukan di Belanda kelak.

    "Sebarang tindakan undang-undang terhadap pelaku kejadian serangan pesawat MH17 itu tertakluk kepada hasil siasatan jenayah yang sedang dijalankan oleh pihak JIT.

    "JIT sedang mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Anuar Abd Manap [BN-Sekijang] yang mahu mengetahui perkembangan terkini tindakan undang-undang terhadap pelaku kejadian serangan pesawat MH17 selepas Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai Sokongan Politik Untuk Mendakwa Dalang Di Sebalik Terhempasnya MH17 pada September lalu.

    Selain Malaysia, JIT dianggotai Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine.

    JIT telah bersetuju supaya pendakwaan dilaksanakan di bawah sistem perundangan Belanda berbanding pendakwaan melalui tribunal jenayah antarabangsa yang ditubuhkan melalui suatu statut khusus.

    MoU itu untuk meraih sokongan politik untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 telah ditandatangani oleh Menteri-Menteri Luar Negeri pada 20 September 2017 ketika Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa (UNGA) di New York, Amerika Syarikat. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " MH17: JIT Bersedia Dakwa Dalang "