• Menteri Sukan Berang Dakwaan Bomoh

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    COLOMBO: Menteri Sukan Sri Lanka menafikan mengarahkan pasukan kriket kebangsaan menggunakan ilmu sihir untuk meraih kemenangan terhadap Pakistan, awal bulan ini.

    Dayasiri Jayasekara mengancam menyaman seorang bomoh tempatan yang membuat dakwaan itu, baru-baru ini di media sosial.

    “Saya mengancam menyamannya jika tidak membuang kenyataan itu, selain membuat laporan polis terhadapnya.

    “Saya tidak mengarahkan kapten atau pasukan itu mendapatkan khidmatnya. Sungguh tidak masuk akal, terutama memandangkan kita kalah 5-0 sehari kemudian.

    “Kalau benar dia menggunakan sihir, bagaimana kami boleh kalah seteruk itu?” soalnya.

    Ganga Zoiza memuat naik kenyataan di Facebook mendakwa menteri terbabit mengarahkan pemain, Dinesh Chandimal menemuinya dan meminta sihir memastikan kemenangan terhadap Pakistan yang diketahui bermain lebih baik berbanding pasukan Sri Lanka.

    “Chandimal datang menemui saya sebelum pergi untuk perlawanan di Emiriyah Arab Bersatu.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih khusus kepada Jayasekara kerana menyuruhnya menemui saya. Saya akan memastikan kriket Sri Lanka memasuki era emas selepas ini,” katanya di Facebook selepas Sri Lanka menang permainan itu pada 6 Oktober lalu.

    Dia turut memuat naik gambar Chandimal di kediamannya.

    Bagaimanapun, dia menurunkan gambar dan kenyataan itu susulan amaran menteri berkenaan.

    Ahli politik, perniagaan dan bintang sukan Sri Lanka kerap mempercayai astrologi dan ilmu sihir. Ramai yang menjadi mangsa tipu disebabkan kepercayaan itu.

    Pada 2015, Presiden Mahinda Rajapakse mematuhi nasihat ahli nujum peribadinya dan mengadakan pilihan raya dua tahun lebih awal namun kalah teruk.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Menteri Sukan Berang Dakwaan Bomoh "