• Maut Terperangkap Dalam Kereta

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+

    SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam keretanya yang remuk akibat kemalangan dengan dua kenderaan lain termasuk sebuah treler di Kilometer 269.1 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, malam tadi.

    Dalam kejadian jam 12.44 tengah malam berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah utara itu, Aliff Ashraf Rosli, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusof, berkata sebuah jentera bersama tujuh anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

    "Apabila tiba, kita dapati mangsa yang terperangkap di dalam kereta itu tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan kemudian mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

    "Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan dia daripada keretanya," katanya di sini, hari ini.

    Sementara itu, seorang pengguna jalan raya mahu dikenali sebagai Ng, 20, berkata ramai orang cuba mengeluarkan mangsa daripada keretanya namun gagal.

    "Semua pintu kereta itu tersekat dan tidak dapat dibuka. Kami cuba mencari jalan lain untuk mengeluarkannya tetapi tidak berjaya kerana kereta itu remuk teruk.

    "Akhirnya kami tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa menunggu ketibaan bomba," katanya yang turut terbabit dalam kemalangan kecil apabila kereta di hadapannya berhenti mengejut ketika cuba mengelak daripada melanggar kereta mangsa dari arah belakang.

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Terperangkap Dalam Kereta "