• Maut Julur Kepala

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    SANTO DOMINGO, REPUBLIK DOMINICA: Seorang pelancong warga Russia maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya melanggar papan tanda jalan selepas dia menjulurkan badannya keluar tingkap kereta.

    Natalia Borodina, 35, yang hanya memakai seluar dalam menjulurkan badannya ke luar tingkap kereta yang dipandu rakannya ketika bercuti di Punta Cana dekat sini.

    Rakannya, Ivanna Boirachuk, 32, memandu kereta jenis Kia Picanto sambil merakamkan aksi Natalia menggunakan telefon bimbit.

    Kejadian itu dipercayai berlaku pada 10 Oktober lalu tetapi video yang memaparkan kejadian ngeri itu tular di Internet kelmarin.

    Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 11 tahun itu dipercayai bercuti di Republik Dominica bersama rakannya ketika kemalangan itu berlaku.

    Dalam video berkenaan, Natalia yang dipercayai mabuk dan hanya memakai seluar dalam dilihat mengeluarkan kepalanya di luar tingkap kereta yang dipandu laju.

    Dia kemudiannya menjulurkan sebahagian badannya dan secara tiba-tiba kepala wanita itu terkena papan tanda jalan.

    Menurut media tempatan, Ivanna segera memandu ke hospital tetapi Natalia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

    Sementara itu, pihak berkuasa Republik Dominica dilaporkan menahan rakan mangsa selepas video kemalangan berkenaan tular di Internet.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Julur Kepala "