• Masih Ramai Tak Fasih Bahasa Melayu

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dukacita masih ada dalam kalangan masyarakat tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik walaupun lahir dan membesar di negara ini.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, negara sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan, namun gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik.

    Katanya, ia satu fenomena yang amat memalukan kerana ada warga negara asing seperti pelarian Rohingya mampu berbahasa Melayu dengan baik, walaupun baharu empat tahun tinggal di negara ini.

    "Saya melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Cox's Bazar, Bangladesh kira-kira dua minggu lalu, ada pelarian Rohingya yangmenjadi pekerja asing mampu bercakap bahasa Melayu dengan baik.

    "Saya amat dukacita kerana ada rakyat kita yang masih tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik. Mana (rasa) 'di mana langit dipijak, di situ langit dijunjung," katanya ketika merasmikan Kongres Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) 2017, di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu Lembah Pantai (IPGKBM) di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abdul Adziz Abas dan Pengarah IPGKBM, Dr Maridah Alias.

    Ahmad Zahid berkata, dua faktor penyebab fenomena berkenaan, iaitu bersikap memandang rendah terhadap bahasa Melayu dan kedua, pesimis menerima pembaharuan dalam menilai tahap kemahiran berbahasa.

    "Hal ini amat mendukacitakan kerana kita sepatutnya mengangkat bahasa Melayu sesuai dengan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

    Ahmad Zahid berkata, usaha Kementerian Pendidikan membangunkan KSBM adalah antara inisiatif meningkatkan penggunaan bahasa Melayu standard dalam semua bidang termasuk di sektor awam dan swasta. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Masih Ramai Tak Fasih Bahasa Melayu "