• Maria Chin dan dua lagi kekal mengaku tidak bersalah

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas sekali lagi didakwa atas pertuduhan menyertai protes jalanan #KitaLawan, dua tahun lalu.

    Orang Kena Saman (OKS), Maria, 61, bersama dua lagi OKS, iaitu Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, 41, dan Pengurus Sekretariat Bersih, 2.0 Mandeep Singh, 31, turut membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

    Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan orang lain yang masih bebas menyertai suatu protes jalanan bagi tujuan tertentu di hadapan kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di hadapan Kompleks Sogo, di sini antara jam 3.15 petang hingga 6 petang, pada 28 Mac 2015.

    Mereka didakwa menyertai protes jalanan itu antaranya bagi tujuan Reformasi dan Bebaskan Anwar dan Bebas Berhimpun Bebas Bersuara.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Safarizal Zakari, menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap OKS dengan seorang penjamin.

    Peguam Vince Tan Hoo Seh yang mewakili Sim dan Mandeep bagaimanapun memohon supaya jaminan RM500 yang dikenakan sebelum ini dikekalkan. Maria hadir diwakili peguam P Rajsurian.

    Mahkamah kemudian membenarkan kesemua OKS diikat jamin RM500 setiap seorang dan menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.

    Pada 8 September 2015, mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan yang sama.

    Pada 28 Ogos lalu, mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan yang mengendalikan kes terbabit gagal hadir pada hari pertama perbicaraan kes.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Maria Chin dan dua lagi kekal mengaku tidak bersalah "