• Marawi Kembali 'Bernyawa'

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    MARAWI: Seorang penduduk, Khaliluddin Ismail pulang ke rumahnya di bandar ini pada Ahad lalu selepas pertempuran selama lima bulan antara tentera dan militan Daish berakhir.

    Khaliluddin, 44, mendapati rumahnya digeledah dan banyak barang dicuri tetapi dia tetap tersenyum.

    “Sekurang-kurangnya masih ada yang tinggal. Tidak seperti yang lain, mereka kehilangan rumah dan orang tersayang,” katanya yang berdiri di dalam sebuah bilik di rumahnya penuh dengan barangan bertaburan di atas lantai.

    Marawi musnah teruk akibat pertempuran selama lebih 150 hari yang menyebabkan lebih 1,100 orang terbunuh dan memaksa kira-kira 350,000 penduduk melarikan diri.

    Khaliluddin, seorang Imam di masjid berhampiran menganggap dirinya beruntung kerana rumahnya berada di zon selamat Marawi.

    Kawasan itu sudah lama terbiar dan tidak terjejas oleh serangan udara tentera yang meranapkan seluruh bandar, ribuan rumah, premis dan kenderaan.

    Enam hari selepas tentera membunuh saki-baki militan di bandar itu, Khaliluddin antara kira-kira 4,000 orang yang dibenarkan kembali ke rumah mereka di Basak di daerah Malutlot.

    Sepertinya, ramai yang turut mendapati rumah mereka digeledah dan dibiar berselerakkan.

    “Saya membuka pintu dan terkejut melihat keadaan sekeliling, tetapi gembira kerana dapat pulang ke rumah,” katanya.

    Khaliluddin melarikan diri bersama keluarganya pada 24 Mei lalu ketika pertempuran tercetus, apabila pasukan keselamatan cuba menangkap ketua militan, Isnilon Hapilon.

    Hapilon berjaya melarikan diri dan mengarahkan ratusan militan yang dibantu pemberontak Maute menawan bandar itu.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Marawi Kembali 'Bernyawa' "