• Malaysia Tidak Import Produk Ba Shu Hotpot

    Published: Saturday, 14 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesahkan Malaysia tidak mengimport produk makanan periuk panas segera yang mengandungi daging dikenali sebagai Ba Shu Hotpot atau Ba Shu Lan Ren, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata perkara itu disahkan berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) yang dikendalikan Kementerian Kesihatan.


    Katanya, semua makanan yang diperbuat atau diimport ke negara ini perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

    "Berdasarkan FoSIM, tiada pengimportan bagi produk daripada syarikat terbabit ke negara ini. Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Noor Hisham mengulas artikel akhbar berbahasa Inggeris, The Straits Times di Singapura bertajuk 'Import of Instant hotpots products containing meant not approved by AVA; importers fined and products seized' yang disiarkan pada 9 Oktober lalu.

    Laporan akhbar menyatakan bahawa Pihak berkuasa Makanan Pertanian dan Veterinar Singapura (AVA) melarang pengimportan produk itu dari Chengdu, China kerana pihak AVA hanya membenarkan pengimportan produk makanan yang mengandungi daging daripada sumber yang diluluskan olehnya.

    Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menggesa sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Tidak Import Produk Ba Shu Hotpot "