• Malaysia Terajui Pelaburan Hijau

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    SINGAPURA: Dengan 130 projek berpotensi bagi pembiayaan hijau bernilai lebih RM2 bilion dalam perancangan, Malaysia ternyata berada pada landasan yang tepat untuk menjadi peneraju dunia dalam pelaburan hijau, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

    Beliau berkata daripada projek itu, 111 adalah projek tenaga boleh baharu bernilai RM1.9 bilion dan 19 projek kecekapan tenaga bernilai RM248 juta, mencerminkan potensi Malaysia bagi pembiayaan hijau.

    "Kami turut melihat kepada Loji Fotovoltan Solar Skala Besar, yang membabitkan 18 syarikat untuk tempoh dua tahun akan datang hingga 2018, dengan kapasiti 402 MW," katanya pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2017 (SIEW 2017) selama lima hari mulai 23 Oktober 2017.

    Beliau berkongsi pandangan Malaysia dalam menggalakkan pertumbuhan sektor tenaga bersih dan menggunakan teknologi tenaga baharu di rantau ini pada Forum Cabaran Pelaburan Tenaga di Asia - Memacu Pertumbuhan dan Membiayai Peralihan Tenaga Bersih.

    Ongkili berkata Malaysia mempunyai dasar dan peraturan yang jelas dan telus bagi pelaburan mesra alam.

    "Bagi pelaburan hijau, Malaysia memainkan peranan perintis dalam memanfaatkan pasaran modal," katanya, sambil menambah bank di Malaysia sebelum ini agak ragu untuk menyediakan pembiayaan bagi pelaburan sedemikian dalam sektor baharu itu tetapi kini amat menyokong.

    Ongkili memberitahu pada forum itu Malaysia menerajui dunia dalam pelaburan hijau melalui pengenalan Sukuk Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab Islam Hijau (SRI).

    Sukuk SRI Hijau adalah bantuan kewangan patuh Syariah, yang mendapat pengiktirafan Kumpulan Bank Dunia, katanya.

    Baru-baru ini, Malaysia menerbitkan Sukuk SRI Islam Hijau yang pertama berjumlah RM250 juta bagi projek solar kepada Tadau Energy dan RM1 bilion bagi Quantum Solar Park Malaysia, terbitan sukuk hijau terbesar di dunia untuk membina projek tenaga solar yang terbesar di Asia Tenggara.

    "Langkah itu meletakkan Malaysia di peta dunia dan peneraju dalam pelaburan hijau," katanya.

    Ongkili berkata pasaran modal Malaysia secara keseluruhan meningkat 0.7 peratus kepada RM2.84 trilion pada 2016.

    Saiz pasaran bon negara berkembang 4.5 peratus kepada RM1.17 trilion, dan permodalan pasaran ekuiti pada RM1.67 trilion.

    "Pasaran modal Islam kita saja sebanyak RM1.60 trilion, mewakili 60 peratus daripada pasaran modal domestik," katanya.

    Ongkili berkata Malaysia adalah pasaran bon ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan Korea Selatan, sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Bagaimanapun, bagi pasaran sukuk, katanya Malaysia akan terus menjadi peneraju global, dengan 53 peratus daripada AS$349 bilion (RM1.48 trilion) sukuk terkumpul global, dan 46 peratus daripada AS$75 bilion (RM317.6 bilion) bagi terbitan sukuk pada 2016. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Terajui Pelaburan Hijau "