• Malaysia Rancang Bina Hospital Lapangan Rohingya

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menyokong usaha Bangladesh untuk menyelesaikan krisis Rohingya dan membantu mengendalikan hampir sejuta pelarian etnik itu dengan bantuan kemanusiaan dan infrastruktur.

    Portal bdnews24.com semalam melaporkan, negara Asia Tenggara itu mencadangkan untuk membuka hospital lapangan di Cox's Bazar untuk pelarian Rohingya yang lari daripada operasi berdarah tentera Myanmar di utara Rakhine.

    Hasrat Malaysia itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Bangladesh, AH Mahmood Ali dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerja di Luar Negara Bangladesh, Nurul Islam di State Guest House Padma di Dhaka semalam.

    Hadir sama Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem dan Bangladesh State Minister for Foreign Affairs Md Shahriar Alam, demikian laporan portal itu memetik kenyataan kementerian luarnya.

    Mahmood Ali memuji langkah berani Malaysia menyokong pelarian Rohingya yang ditindas menerusi inisiatif kemanusiaannya.

    Menteri kanan Bangladesh itu juga mengalu-alukan cadangan rakan Asean itu untuk membuka hospital lapangan di Cox's Bazar dalam menyediakan khidmat kesihatan kepada 300,000 pelarian Rohingya.

    Portal itu melaporkan Ahmad Zahid memuji usaha Bangladesh beri perlindungan sementara dan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya.

    "Beliau (Ahmad Zahid) menjelaskan bahawa Malaysia ambil berat dengan perkembangan membimbangkan itu dan mengambil pendirian tegas dalam isu Rohingya di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan forum serantau lain," kata kementerian luar Bangladesh.

    Malaysia juga menyokong pembabitan masyarakat antarabangsa dan agensi PBB dalam proses penghantaran pulang (repatriasi) etnik Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar.

    Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Bangladesh boleh menerajui usaha menyelesaikan krisis Rohingya yang berlanjutan sejak sekian lama.

    Mahmood Ali turut memberi taklimat kepada Ahmad Zahid tentang situasi di Bangladesh selepas lebih setengah juta pelarian Rohingya baharu tiba ke negaranya sejak 25 Ogos lalu.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhannya lebih 900,000 pelarian Rohingya di Bangladesh.Menteri Luar Bangladesh turut memaklumkan mengenai proses "repatriasi" Rohingya sedang dirundingkan dengan Myanmar, selain menjelaskan kriteria pada 1992 (merujuk kepada proses repatriasi pada ketika itu) perlu dikaji semula.

    Ini termasuk pembabitan masyarakat antarabangsa dan agensi PBB dalam proses itu.

    Isu tenaga kerja asing Bangladesh di Malaysia turut dibincangkan pada pertemuan itu.

    Ahmad Zahid dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Bangladesh dijadual melawat kem dan penempatan pelarian Rohingya di Cox's Bazar hari ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Rancang Bina Hospital Lapangan Rohingya "