• Malaysia Pastikan Pelarian Rohingya Tidak Terlibat Aktiviti Keganasan

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Malaysia telah mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan pelarian Rohingya yang berlindung di negara ini tidak terlibat dengan aktiviti keganasan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata aspek keselamatan negara berada di tahap terbaik dengan pelbagai langkah keselamatan serta pemantauan dilakukan dalam menjamin keselamatan negara.

    Malah, beliau turut menyangkal dakwaan kononnya pelarian berkenaan berisiko terpengaruh dengan kumpulan militan antarabangsa seperti IS.

    "Saya beri jaminan pelarian etnik Rohingya yang berada di negara ini tidak terdedah kepada ancaman IS serta sebarang aktiviti keganasan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Shahidan menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (Pas-Sik) berkenaan terdapat laporan mengatakan IS didapati menawarkan USD2,000 serta makanan (kepada pelarian) di kem pelarian di Lubnan dan Jordan serta perkara itu dikhuatiri turut akan berlaku di negara ini.

    Menjawab soalan asal Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) mengenai langkah-langkah diambil kerajaan serta polisi Malaysia berkenaan isu pelarian Rohingya, Shahidan berkata kerajaan menanggung kos dan pengurusan etnik itu yang berada di negara ini semata-mata atas dasar kemanusiaan.

    Katanya, secara prinsip, perbelanjaan pelarian asing termasuk etnik Rohingya di negara ini ditanggung oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan International Organization for Migration.

    "Ini kerana polisi kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian termasuk etnik Rohingya memandangkan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

    "Bagaimanapun, kerajaan kemudiannya terpaksa tanggung pelarian ini kerana UNHCR tidak dapat memberi perlindungan penuh dengan sewajarnya," katanya.

    Sehubungan itu, kerajaan telah mewujudkan pasukan petugas bersama dengan UNHCR yang diselaraskan Kementerian Dalam Negeri untuk menangani isu berkaitan pelarian berkenaan, katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Pastikan Pelarian Rohingya Tidak Terlibat Aktiviti Keganasan "