• Malaysia Menang Besar

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+

    DHAKA, Bangladesh: Malaysia bermain tenang serta menguasai perlawanan dalam cuaca panas sebelum membelasah China 7-1 pada aksi hoki Piala Asia, semalam.

    Anak buah Stephen Van Huizen akan turun menentang Korea Selatan Sabtu ini dan kemenangan akan memastikan tempat Malaysia dalam pusingan round robin.

    Pemain terbaik perlawanan menjadi milik pemain veteran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil yang pantas mencetus gol pembukaan skuad negara.

    Golnya berpunca daripada kesilapan pemain China, ketika pemain berhenti bermain dalam kotak penalti menyangkakan pengadil akan meniup wisel bagi pukulan sudut penalti, namun Tengku Ahmad Tajuddin menggunakan kesempatan itu untuk memukul masuk.

    Jaringan pada minit ke-12 itu jelas melegakan pemain Malaysia. China langsung tidak mampu memberikan tentangan selepas itu ketika Malaysia hampir mendominasi sepenuhnya dengan gol kedua dijaringkan pada minit ke-17 oleh Faizal Saari.

    Tengku Ahmad Tajuddin menjaringkan gol ketiga menerusi satu lagi percubaan klasik pada minit ke-19 dan China terus dirundung masalah.

    Faizal menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-31, Shahril Saabah menambah gol kelima pada minit ke-35, Faizal melengkapkan hatrik enam minit kemudian sebelum Ramadan Rosli merobek Tembok Besar dengan gol ketujuh pada minit terakhir.

    China meraih gol sagu hati menerusi E Wenhui pada minit ke-56. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Menang Besar "