• Malaysia Lepasi Sasaran Kontrak Di Pesta Buku Frankfurt

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    FRANKFURT: Penyertaan Malaysia ke Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 di sini, berjaya mendapatkan nilai kontrak jualan RM9 juta, sekali gus melebihi sasaran asal, iaitu RM8 juta.

    Ketua delegasi Malaysia, Abdul Wahab Ibrahim, berkata daripada jumlah keseluruhan nilai kontrak itu, genre buku kanak-kanak mencapai jumlah dagangan sebanyak RM1.5 juta; buku akademik (RM2 juta); aplikasi dalam talian (RM juta) dan genre umum (RM500,000).

    "Malaysia turut menerima pelawaan untuk menyertai beberapa pesta buku antarabangsa lain termasuk Pesta Buku London, Pesta Buku Antarabangsa Seoul dan Pesta Buku Antarabangsa Turki," katanya di sini, hari ini.

    Rabu lalu, Abdul Wahab yang juga Pengarah Urusetia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pendidikan, berkata Malaysia meletakkan sasaran RM8 juta itu berdasarkan peningkatan yang dicatatkan sejak penyertaan Malaysia diambil alih oleh MBKM pada 2011.

    Pasaran buku tempatan dilihat mempunyai kelebihan dalam jualan runcit tetapi jualan hak cipta menerusi penyertaan ke pesta buku antarabangsa berupaya menggandakan keuntungan penerbit.

    Penyertaan Malaysia ke FBF 2017 disertai oleh 31 penerbit, sekali gus menjadi jumlah delegasi terbesar Malaysia ke FBF setakat ini.

    FBF 2017 ialah pesta buku terbesar di dunia yang berlangsung di Messe Frankfurt bermula 11 Oktober lalu dan berakhir semalam. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Lepasi Sasaran Kontrak Di Pesta Buku Frankfurt "