• Malaysia Komited Sertai Kajian PISA 2017

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    PARIS (Perancis): Malaysia komited untuk meneruskan penyertaan negara dalam kajian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2017 yang dilaksanakan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) ke arah memperkasa sistem pendidikan.

    Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan itu adalah hasil mesyuarat tertutup antara delegasi Kementerian Pendidikan diketuainya bersama OECD yang diwakili Pengarah Pendidikan dan Kemahirannya, Dr Andreas Schleicher, di sini hari ini.

    Beliau berkata, bilangan sekolah, guru dan pelajar terbabit bagi sampel kajian PISA 2017 itu akan ditentukan pihak OECD manakala laporan keputusan kajian diumum pada 2019.

    "Dalam pertemuan ini, pihak OECD berpandangan setiap dasar pendidikan dilaksanakan sesebuah negara memerlukan masa panjang untuk dilihat hasilnya.

    "Dalam konteks Malaysia, beberapa usaha dilaksanakan negara untuk memartabatkan sistem pendidikan dianggap OECD usaha yang baik, terutama pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

    "Malah, mereka memuji usaha Malaysia dalam memberi penekanan terhadap penyediaan institusi perguruan yang baik, sekali gus melahirkan guru berkualiti dan berkaliber," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

    Mahdzir berkata, selain berkongsi pengalaman, OECD sedia membantu Malaysia dalam meningkatkan tahap kepemimpinan di sekolah, sekali gus membantu penarafan tinggi.

    "Pihak OECD menekankan beberapa elemen penting iaitu kepemimpinan di sekolah, kualiti guru dan semua usaha serta dasar pendidikan mendapat sokongan masyarakat, selain pembabitan pelajar secara menyeluruh," katanya.

    Sementara itu, Amin berkata, OECD turut memuji tahap profesional dan hubungan baik sesama guru di Malaysia.

    "OECD turut memaklumkan, kekuatan Malaysia yang boleh dipelajari negara lain ialah ciri kecekapan global dimiliki pelajar berbilang kaum di tanah air.

    "Malah, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan adalah teras utama kepada peningkatan dalam laporan kajian PISA yang lalu," katanya.

    Menerusi laporan PISA 2015, Malaysia menunjukkan peningkatan 33 mata kepada 431 mata bagi domain Literasi Bacaan berbanding 398 mata pada PISA 2012.

    Bagi Literasi Matematik, Malaysia meraih penambahan 25 mata daripada 421 mata pada PISA 2012, manakala Literasi Saintifik meningkat 23 mata daripada 420 mata (PISA 2012).

    Terdahulu, Mahdzir tiba di Paris semalam bagi menghadiri Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-39 bermula esok hingga Khamis ini.

    Beliau seterusnya akan mengadakan lawatan kerja ke Universiti Cambridge di London bagi menghadiri mesyuarat Penilaian Cambridge English yang antara lain bagi membincangkan kerjasama dengan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) di bawah seliaan Kementerian Pendidikan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Komited Sertai Kajian PISA 2017 "