• Malaysia, Indonesia Perlu Kurang Kebergantungan Kepada Sumber Alam

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+


    SINTOK: Malaysia dan Indonesia tidak boleh lagi hanya bergantung kepada sumber alam semula jadi dan sekadar menjadi pengeluar barang keperluan yang bersifat berteknologi rendah sekiranya mahu menjadi negara maju pada abad ke-21 ini.

    Ahli politik dan usahawan terkemuka Indonesia, Ir H Aburizal Bakrie berkata, malah kedua-dua negara juga tidak boleh bersandar semata-mata kepada konsep kelebihan berbanding yang dibangun berdasarkan jumlah pekerja yang banyak dengan gaji relatif rendah.

    "Sebaliknya, Malaysia dan Indonesia perlu menekankan kepada inovasi, kreativiti, modal insan dan pendidikan tinggi sebagai dasar falsafah baharu dan rahsia untuk merebut kemajuan. Kata kuncinya adalah kesediaan untuk berusaha memperbaiki kehidupan manusia.

    "Kalau berhasil, maka saya yakin bahawa dalam satu generasi ke depan, Malaysia dan Indonesia akan menjadi negara maju serta menjadi contoh bagi negara-negara sedang berkembang lainnya," katanya ketika menyampaikan Kuliah Umum Hubungan Malaysia-Indonesia: Membangun Sinergi dari Sisi Bisnes, Pendidikan dan Sumber Daya Manusia di sini, semalam.

    Aburizal berkata, negara Asia turut tidak terkecuali mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan bisnes, serta peningkatan tahap pendidikan umum.

    "Kita tentu bangga dan bersyukur bahawa dalam perkembangan baharu tersebut, bukan hanya Amerika Syarikat dan Eropah yang bergerak maju, tetapi juga Asia, termasuk Malaysia dan Indonesia.

    Justeru, Aburizal, yang juga pengasas Universiti Bakrie, sebuah universiti swasta di Jakarta, berkata negara Asia perlu memaksimumkan kemampuan universiti untuk menjadi tunjang utama bagi memperoleh ilmu pengetahuan yang mantap, sekali gus melahirkan individu yang mampu menyumbang sesuatu kepada dunia.

    "Jadi pada intinya, di masa kini dan terutama di masa depan, Indonesia, Malaysia serta negara-negara Asia lainnya harus semakin bersandar pada mutu dan kemampuan univerrsiti kita untuk menjadi teras dari semua itu," katanya.

    Aburizal, yang berpengalaman luas dalam bidang politik dan bisnes, pernah menjadi Menteri Kordinator Bidang Kesejahteraan Rakyat Kabinet Indonesia Bersatu (2004-2009) dan Ketua Umum Partai Golkar (2009-2010).

    Beliau juga pernah menjadi Ketua Umum HIPMI (Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (1997-1979), Presiden Forum Perniagaan ASEAN (1991-1995) dan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri ASEAN dari tahun 1996 hingga1998.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia, Indonesia Perlu Kurang Kebergantungan Kepada Sumber Alam "