• Malaysia Eksport Tenaga Mahir Bantu Bina Projek Mega

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Malaysia mampu mengeksport kepakaran tenaga berkemahiran tinggi ke luar negara bagi membantu membina projek-projek mega infrastruktur di negara-negara yang memerlukan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini merupakan manfaat sampingan yang diperoleh daripada negara ini selagi kerajaan membina projek-projek untuk rakyat dan mela­bur dalam pengukuhan modal insan.

    Malah katanya, sistem Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) yang diperkenalkan kerajaan turut membantu mewujudkan golongan berkemahiran tinggi.

    “Mesti ada tulang belakang dalam sistem rel kita dan kita sebenarnya lebih daripada itu, jika kena gayanya, kita mungkin dapat mengeksport tenaga berkemahiran dan bernilai tinggi ke luar negara untuk membantu membina projek-projek infrastruktur di negara-negara yang memerlukan.

    “Dalam tempoh sedekad akan datang, sektor pengangkutan awam akan menjana kira-kira 100,000 jawatan teknikal dan berkemahiran tinggi kejuruteraan dengan projek-projek bernilai tinggi seperti Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid,” katanya sewaktu berucap merasmikan Simposium Pengangkutan Awam Darat (LPT) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pemang­ku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Isa Samad.

    Tambah Najib, walaupun negara banyak mencapai kejayaan dalam pengangkutan awam, namun, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan.

    Malah jelasnya, kerajaan telah menetapkan matlamat baharu di bawah pelan Transformasi Nasional iaitu untuk menjadi 20 buah negara teratas menjelang tahun 2050.

    “Pengangkutan awam merupakan sebahagian daripada matlamat untuk mencapai sasaran 20 negara teratas, jadi transformasi pengangkutan awam mesti kekal mengikut keadaan semasa dan selari dengan permintaan populasi mesra Internet,” ujarnya.

    Perdana Menteri memberitahu, setiap inisiatif pengangkutan awam yang dilaksanakan kerajaan bukan hanya memberi manfaat kepada penggunanya sahaja sebaliknya turut memberi peluang kepada pembangunan modal insan.

    Najib berkata, projek penambahan rangkaian landasan rel misalnya, memberi peluang tidak ternilai untuk aktiviti pembelajaran, pembangunan dan melaksanakan sistem canggih untuk penyelenggaraan dan pengoperasian.

    Katanya, sejak berdekad lamanya, kerajaan melabur bi­lion ringgit untuk membina dan menaiktaraf rangkaian rel dalam bandar raya dan juga Greater Kuala Lumpur atau KVMRT.

    “Kerajaan telah menambah rangkaian rel bandar dari 279 kilo­meter ke 369 kilometer dan jumlah ini berkembang sehingga 505 kilometer dengan siapnya projek transit aliran ringan LRT3, transit aliran massa (MRT) dan MRT Lingkaran 3,” ujarnya.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Eksport Tenaga Mahir Bantu Bina Projek Mega "