• "Malaysia Bankrap? Sudah-Sudahlah Menipu" – PM

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kemampuan kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk terus menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rak­yat jelas memadamkan tomahan pembangkang kononnya Malaysia telah bankrap.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan Bajet 2018 yang dibentangkan pada Jumaat lalu, pelbagai bentuk bantuan diperkenalkan termasuk kenaikan beberapa elaun khusus untuk warga emas dan juga orang kurang upaya (OKU) sekali gus bukti kewangan kerajaan masih mampu memenuhi keperluan rakyat.

    Kemampuan kerajaan itu membuatkan Najib mempertikaikan tuduhan pembangkang kononnya negara ini telah bankrap.

    “Rakyat perlu, BN bantu, sebab kita mampu. Malaysia bankrap? Sudah-sudahlah pembangkang menipu,” kata Perdana Menteri menerusi status terbaharunya di akaun Facebook beliau hari ini.

    Semasa pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lalu, beberapa bentuk bantuan dan kemudahan terus dikekal dan ditambahkan kepada rakyat termasuklah setiap anak Malaysia yang lahir antara 1 Januari 2018 sehingga 2022 dihadiahkan dana tabungan permulaan sebanyak RM200 yang dinamakan sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) dan elaun warga emas dinaikkan kepada RM350 sebulan.

    Selain itu, elaun kepada OKU yang bekerja, tidak be­kerja atau menjaga OKU dinaik­kan RM50 sebulan dan peruntukan RM500 juta iaitu paling tinggi pernah diberikan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan khususnya bumiputera.

    Meskipun memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan, lebihan perbelanjaan kerajaan dijangka terus berkurangan kepada 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2018, berban­ding tiga peratus untuk 2017.

    Najib juga dalam status Facebook berasingan berkata, BN juga menghargai sumbangan penjawat awam sebagai nadi perkhidmatan kerajaan.

    Di dalam Bajet 2018, beberapa insentif turut diumumkan untuk kakitangan awam antaranya meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan dan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah.

    Selain itu ialah bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam manakala pesara kerajaan menerima bayaran khas sebanyak RM750.

    “Bukan macam pembangkang siang malam sibuk kata nak buang penjawat awam, BN tahu dan hargai sumbangan anda untuk negara,” kata Najib.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " "Malaysia Bankrap? Sudah-Sudahlah Menipu" – PM "