• Malaysia akan beli tanah di Saudi bina Kompleks Tabung Haji’

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+
    SEREMBAN: Kerajaan Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Arab Saudi bagi membeli beberapa bidang tanah di Jeddah, Makkah dan Madinah pada hujung tahun ini.

    Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH), Prof Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin berkata, pembelian tanah itu adalah bagi membina Kompleks Tabung Haji yang antara lain menyediakan penginapan bagi jemaah Malaysia dan kemudahan seperti kaunter kewangan.

    “Kalau dibenarkan kerajaan Arab Saudi (bagi pembelian tanah), ini kali pertama rakyat luar dibenarkan memiliki (hartanah) untuk jangka panjang, iaitu bagi tempoh 90 tahun ke atas.

    “Saya fikir ini merupakan hasil hubungan baik di antara pemimpin kedua-dua negara,” katanya selepas melawat waris jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah hari ini.

    Turut hadir Timbalan Pengarah TH Negeri Sembilan, Abdul Malek Hassan.

    Shukor berkata, pembinaan kompleks itu kelak dapat menjimatkan kos pengurusan TH dan memudahkan jemaah Malaysia berkumpul di satu tempat.

    Buat masa ini, TH membuat sewaan jangka panjang dengan beberapa hotel di sekitar Makkah dan Madinah bagi menyediakan penginapan jemaah Malaysia.

    Terdahulu, Shukor menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian, air zam-zam dan kurma kepada waris Baharom Mohd, 84, yang meninggal dunia di Makkah pada 7.30 pagi, 26 Ogos lalu akibat serangan jantung.

    Jenazah Baharom diuruskan petugas TH dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ie.

    Shukor berkata, seramai 67 jemaah iaitu 40 lelaki dan 27 wanita meninggal dunia pada musim haji tahun ini berbanding 31 orang tahun lepas. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia akan beli tanah di Saudi bina Kompleks Tabung Haji’ "