• Mahu Wujudkan Pusat Jagaan Ibu Mengandung

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    COX’S BAZAR, BANGLADESH: Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) berhasrat mewujudkan pusat ‘Penjagaan Ibu dan Bayi’ di pusat pelarian etnik Rohingya di Bangladesh bagi menjaga kebajikan ibu mengandung dan bayi.

    Bendahari IMAM Dr Ahmad Yusuf Yahaya berkata berdasarkan data terkini, semakin ramai pelarian baharu berada di kem pelarian, dianggarkan terdapat 70,000 pelarian wanita hamil yang boleh mengundang masalah kepada wanita itu dan bayi mereka dalam tempoh beberapa bulan lagi.

    Beliau berkata dalam jangka masa panjang, masalah lebih besar akan berlaku melibatkan perkembangan wanita bersalin dan bayi mereka.

    Ketika ini, katanya, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) hanya mempunyai klinik rasmi yang menawarkan khidmat pemeriksaan ibu mengandung di pusat UNHCR atau kem pelarian yang rasmi.

    ”Kem yang rasmi hanya dua iaitu Kutupalong dan Nayapara sedangkan ada berpuluh-puluh lagi khemah sementara yang diwujudkan oleh pelarian sendiri, dan ia di luar klinik rasmi UNHCR,” katanya.

    Beliau ditemui di klinik bergerak kelolaan IMAM Response and Relief Team (IMARET) di Kem Pelarian Ghundum, sebuah daripada khemah sementara berhampiran Kem Kutupalong, kira-kira 35 km dari sini.

    ​​​​​​​​​​​​​​Dr Ahmad Yusuf berkata ketika ini, IMARET bersama-sama kumpulan doktor tempatan telah menyediakan klinik bergerak untuk rawatan asas, bantuan nutrisi kepada kanak-kanak dan alat sanitari wanita.

    “Kita juga ada buat kaji selidik mengenai wanita mengandung dan keperluan mereka. pelarian ini, mereka datang dari tempat yang ditindas. Jadi masalah mereka adalah mereka tiada pengetahuan dan kemampuan mengenai kesihatan serta pendidikan,” katanya yang juga Koordinator IMARET bagi Program Outreach.

    Dr Ahmad Yusuf berkata berdasarkan pemerhatian beliau, terdapat dua jenis jangkitan yang perlu diberikan perhatian iaitu penyakit kronik dan penyakit akut.

    “Penyakit kronik melibatkan orang lama berikutan keadaan kem-kem yang tidak memuaskan. Penyakit akut melibatkan yang baru sampai, kerana untuk sampai sini mereka terpaksa berendam, berhujan dan berpanas,” katanya.

    Beliau berkata dengan pertambahan pelarian dan keadaan kem, dibimbangi akan berlaku masalah penyakit berjangkit yang akhirnya akan membawa wabak.

    “Kalau jadi wabak nak kawal sangat-sangat susah kerana bilangan mereka ramai dan ada ramai juga yang tak berdaftar untuk diperiksa sejarah kesihatan mereka. Risiko amat-amat tinggi,” kata pensyarah Fakulti Perubatan di Segi University Kota Damansara itu.

    Katanya IMAM menerusi IMARET telah memulakan misi kemanusiaan terhadap etnik Rohingya di Malaysia sejak tiga tahun lalu tetapi sejak sebulan lalu telah memulakan misi tersebut di kem pelarian di Bangladesh.

    “Kita ada klinik berkala di beberapa lokasi di Kuantan, Kuala Lumpur dan dan Johor Bahru. Berikutan krisis kemanusiaan ini, kita terpanggil untuk turut sama beri bantuan di kem pelarian di Bangladesh dari segi bantuan perubatan dan bantuan asas lain.

    “Selain perubatan, kita jalankan juga ‘Soup Kitchen’ di Kem Nayapara. Kita sediakan 1,000 hidangan sehari. Kita juga sediakan perlindungan untuk yang baru sampai,” katanya.

    Krisis kemanusiaan semakin memuncak di wilayah Rakhine, Myanmar dengan semakin ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari dan semakin banyak kem pelarian diwujudkan.

    Jumlah sebenar pelarian tidak dapat dipastikan tetapi ada banyak pihak mendakwa ia telah melebihi sejuta orang.

    – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Mahu Wujudkan Pusat Jagaan Ibu Mengandung "