• Mahkamah Tinggi perintah guru tarian bela diri

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seorang guru tarian diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan menghina dengan melepaskan tujuh belon kuning dalam satu majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, dua tahun lalu.

    Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi Bilqis Hijjas, 37.

    Mohd Sofian berkata, mahkamah berpendapat bahawa keputusan yang diberikan Mahkamah Majistret adalah terkhilaf.

    Pada 1 Julai 2017, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan guru tarian itu daripada pertuduhan menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan yang mungkin menyebabkan keamanan terganggu di pusat beli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini, pada jam 3.15 petang, 31 Ogos 2015.

    Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu pada 23 September 2016.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

    Perayu dalam permohonan ini ialah Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Po'ad, manakala Bilqis diwakili peguam Eric Paulsen.

    Eric ketika di luar mahkamah, berkata pihak pembelaan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu Bilqis.

    Media sebelum ini melaporkan, tujuh belon kuning dilepaskan dari tingkat lima di pusat beli-belah itu ketika Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah Tinggi perintah guru tarian bela diri "