• Mahkamah bebaskan semua tertuduh kes Bestino

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, membebaskan empat individu terdiri daripada pengarah dan pemegang saham majoriti, Bestino Golden House Sdn Bhd (Bestino) daripada 322 tuduhan pengubahan wang bernilai RM156.2 juta serta lima tuduhan menerima deposit tanpa lesen.

    Hakim, S Indra Nehru, berkata beliau membuat keputusan itu selepas meneliti semua keterangan saksi dan mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Katanya, berikutan itu, semua tertuduh dibebaskan dari pertuduhan terbabit tanpa dipanggil membela diri.

    Dua pengarah syarikat itu, Yuk Ming, 55; dan Chang Kuei Geh, 63, serta dua lagi pemegang saham majoriti, Chee Cheong, 47; dan Goon Koon Lee, 52, sebelum ini dituduh melakukan semua kesalahan terbabit di antara 9 Julai 2006 hingga 21 September 2008.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi- Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dengan satu tuduhan terhadap syarikat itu yang berpangkalan di sini serta empat lagi secara individu iaitu menerima deposit orang awam tanpa lesen dan kebenaran sah di premis syarikat terbabit di 80-B, Jalan Sultan Yusoff Ipoh.

    Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum RM10 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), Putrajaya, Nur Ashikin Mokhtar dan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia (BNM), Wan Nur Atiqah Meor Mohd Zin, manakala semua tertuduh diwakili peguam bela, K Kumaran dan P Pavaneswaran.

    Sementara itu, susulan keputusan mahkamah itu, Nur Ashikin berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

    Beliau berkata, pihaknya juga akan memfailkan permohonan supaya mahkamah terus membekukan aset yang disita daripada semua tertuduh sehingga prosiding rayuan kes berkenaan selesai.

    Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi di sini, turut menolak permohonan 6,764 pelabur Bestino untuk mendapatkan kembali wang pelaburan mereka berjumlah RM411 juta serta dividen dalam syarikat pelaburan emas berkenaan.

    Mereka memfailkan permohonan itu pada 2014 dengan menamakan dua ahli lembaga pengarah syarikat itu serta dua pemegang saham majoriti sebagai defendan

    Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, dalam penghakimannya, berkata mahkamah menolak permohonan itu kerana pelabur sepatutnya mengambil tindakan terhadap syarikat Bestino, bukan ahli lembaga pengarah dan pemegang saham.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah bebaskan semua tertuduh kes Bestino "