• Mah Jah hubungi pembantu peribadi Vida

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kakak Datuk Seri Vida, Azizah Othman, mengakui ada menghubungi pembantu peribadi adiknya, Ahmad Iqbal Zulkefli, bagi mendapatkan penjelasan mengenai kontroversi yang timbul.

    Beliau yang lebih mesra disapa Mak Jah berkata, dirinya berharap mana-mana pihak tidak menjadikan isu berkenaan lebih sensasi memandangkan adiknya kini sedang menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci.

    Mak Jah turut menganggap gosip mengenai adiknya itu mencalarkan reputasi beliau sebagai seorang usahawan kosmetik.

    "Saya ada menghubungi Iqbal bagi mendapatkan penjelasan mengenai gosip yang timbul, namun gagal mendapatkan kerjasama daripada pihak beliau. Hubungan mereka sekadar majikan dan pekerja, namun dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    "Gosip yang timbul ini mampu mencalarkan imej Datuk Seri Vida sebagai usahawan kosmetik, kerana saya bukan saja memandang dari sudut peribadi, sebaliknya dari aspek kerjaya juga.

    "Saya tidak mahu orang memandang rendah terhadap beliau kerana sering terpalit dengan gosip sebegini. Bagaimana beliau yang mempunyai reputasi tersendiri boleh mempunyai hubungan dengan pembantu peribadinya pula?" katanya kepada BH Online.

    Kontroversi timbul apabila ada pihak mengaitkan jutawan kosmetik itu dengan pembantu peribadinya, Iqbal, 23. Terbaru, ibu pemuda itu turut memberi restu seandainya jodoh berpihak kepada Vida dan anak lelakinya.

    Vida, 46, kini berada di tanah suci menunaikan ibadat umrah dan dijangka pulang pada 24 Oktober ini.

    "Kalau boleh, memang lebih baik tunggu sehingga beliau pulang daripada umrah, tetapi saya tidak mahu perkara ini disensasikan lagi.

    "Biarlah Datuk Seri Vida beribadat dengan tenang dan jangan membebankan dirinya dengan gosip sebegini," kata Mak Jah.

    Vida pula ketika bercakap dengan BH Online, semalam, memaklumkan siapa saja jodohnya nanti, lelaki berkenaan perlulah mendapat persetujuan daripada anak dan kakaknya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mah Jah hubungi pembantu peribadi Vida "