• Lupa Tutup Zip

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+

    PASIR GUDANG: Seorang lelaki Bangladesh, 39, cuba merasuah pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) apabila dia didapati berkhalwat di bilik hotel bajet di Taman Rinting di sini, dengan wanita Indonesia berusia 40 tahun, semalam.

    Malah, akibat terkejut pintu bilik diketuk jam 2 pagi, lelaki itu turut terlupa menutup zip seluarnya ketika membuka pintu dan menghulurkan RM90 sebagai dorongan membebaskannya dengan pasangan yang dipercayai tidak berpakaian dan bersembunyi di tandas bilik berkenaan.

    Pasangan itu mengambil masa hampir lima minit sebelum membuka pintu apabila diketuk pegawai penguat kuasa dalam Operasi Cegah Maksiat sempena cuti Hari Deepavali di beberapa hotel bajet sekitar Permas Jaya dan Bandar Seri Alam membabitkan 16 anggota dan pegawai.

    Sebaik pintu dibuka, lelaki itu ditegur supaya menutup zip seluar manakala anggota penguat kuasa wanita menghulurkan pakaian dalam kepada wanita Indonesia yang bersembunyi di dalam tandas, sebelum lelaki Bangladesh itu cuba memberi wang kepada anggota berkenaan.

    Walaupun ditegur, lelaki itu berdegil dan cuba menyogok melepaskan mereka menyebabkan dia ditahan kerana cuba merasuah penjawat awam.

    Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, pasangan itu antara 10 pasangan membabitkan 12 lelaki dan 10 wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasi cegah maksiat itu.

    Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Seri Alam untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa JAINJ bagi tindakan lanjut.

    “Mereka ditahan mengikut Seksyen 27(1) (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Semua ditahan membabitkan 14 rakyat tempatan, enam warga Indonesia dan masing-masing seorang Bangladesh serta Pakistan. Pemeriksaan mendapati semua warga asing itu ada dokumen perjalanan sah.

    Dalam serbuan sama, tiga lelaki ditahan di dalam satu bilik bersama seorang wanita dengan alasan terlalu penat untuk pulang dan dua lelaki yang juga adik-beradik itu hanya menemani mereka sambil bermain permainan video.

    Seorang operator kilang di Singapura pula memberi alasan meminta bantuan wanita yang didakwa tunangnya sejak lima bulan lalu mengurut pinggangnya kerana terlalu letih selepas pulang dari republik berkenaan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lupa Tutup Zip "