• Lukisan Mural Kenang Tragedi Ittifaqiyah

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    Kuantan: Walaupun usaha dilakukan sekumpulan pelajar dari Politeknik Muadzam Shah, Rompin, menzahirkan kreativiti mereka dalam lukisan mural dianggap kecil ia cukup menyentuh hati masyarakat untuk mengenang tragedi 23 mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

    Gerak kerja kumpulan 10 pelajar reka bentuk seni visual itu turut mendapat kerjasama Sekolah Menengah Agama (SMA) Bukit Ibam, Muadzam Shah, yang memberikan kebenaran menterjemahkan karya pada dinding sekolah berkenaan.

    Lukisan mural menggambarkan 11 murid dan pelajar tahfiz lelaki memberikan kata-kata nasihat diterjemahkan pada dinding sekolah berkenaan pada 20 September lalu.

    Menurut Pegawai Sukarelawan Politeknik Muadzam Shah, Afzanizam Alias, 37, idea lukisan itu diadaptasi daripada lukisan kartun di Internet yang dipopularkan Comic Geek Resources.

    “Dalam karya itu, kami turut menambah kata-kata nasihat seperti menjauhi dadah, penekanan terhadap pentingnya solat, menyayangi ibu bapa dan menjadi pelajar hebat di dunia serta di akhirat.

    “Kami turut menambah dua karakter kartun pelajar lelaki berbaju putih dan berseluar hijau dalam lukisan mural itu sebagai kelainan daripada karya asal,” katanya, semalam.

    Afzanizam berkata, lukisan mural yang mengambil masa lima jam untuk disiapkan dibantu 12 pelajar tingkatan dua dan tiga SMA Bukit Ibam yang mula dilukis jam 10 pagi.

    Dalam kejadian 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama yang terbakar.

    Hasil siasatan mendapati ada unsur khianat dalam kejadian itu dan tujuh suspek lelaki berusia antara 11 hingga 18 tahun ditahan. - HM

    Subjects:

  • No Comment to " Lukisan Mural Kenang Tragedi Ittifaqiyah "