• Lukaku Dituduh Sengaja Tendang Muka Lovren

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    LONDON: Pertahanan Liverpool, Dejan Lovren menuduh penyerang Manchester United, Romelu Lukaku menendang mukanya dengan sengaja ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.

    Tumit Lukaku terkena bawah mata kiri Lovren, selepas pemain Croatia itu melakukan asakan, namun Persatuan Bola Sepak Inggeris mempertahankan tindakan pengadil, Martin Atkinson yang tidak mengenakan sebarang hukuman kepada penyerang United berkenaan.

    “Pada pandangan saya, dia melakukannya dengan sengaja. Jika kejadian itu tidak disengajakan, selepas itu kamu akan meminta maaf,” kata Lovren pada sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Maribor di Slovenia.

    “Saya lihat dia gugup dan mungkin itulah sebabnya. Apa pun, semuanya sudah berlaku. Saya tidak boleh mengubahnya lagi. Kita fokus apa yang kita hadapi sekarang. Inilah bola sepak.”

    Dalam saingan Liga Juara-Juara, Liverpool kini berada di tangga ketiga Kumpulan E, selepas sekadar seri dalam dua perlawanan awal.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Lukaku Dituduh Sengaja Tendang Muka Lovren "