• Lorenzo Tekad 'Bakar' Sepang

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    NILAI: Pelumba Ducati, Jorge Lorenzo mahu melupakan keputusan buruk pada Grand Prix (GP) Australia minggu lalu apabila turun beraksi di GP Malaysia, hujung minggu ini.

    Mengakui melalui detik yang sukar sepanjang musim ini, bekas juara dunia kelas MotoGP sebanyak tiga kali itu berkata, keputusan di Litar Phillip Island berkenaan berada di luar jangkaannya.

    "Perlumbaan terakhir sangat teruk. Kami tidak begitu kompetitif dan penamat ke-15 bukanlah sesuatu yang saya mahukan.

    "Sepanjang musim ini saya boleh rangkumkan sebagai sangat sukar. Perwatakan jentera tidak sama perlumbaan sebenar.

    "Saya pula perlu menukar gaya tunggangan. Tapi pasukan dan saya terus saling membantu untuk meraih pencapaian lebih baik.

    "Apapun, kadangkala kami mampu meraih keputusan yang bagus," katanya ketika ditemui selepas menyertai perlawanan pertunjukan acara badminton bersama Marc Marquez (Repsol Honda) dan dua bekas pemain negara, Rashid Sidek serta Yap Kim Hock, hari ini.

    Lorenzo menambah, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) antara litar kegemarannya dan berharap dapat meraih keputusan yang lebih baik.

    "Ia litar yang serba moden dan mempunyai cengkaman yang baik. Saya juga pernah melalui banyak kenangan manis di sini," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Lorenzo Tekad 'Bakar' Sepang "