• London Kenakan Caj Cemar Udara

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    LONDON: Datuk Bandar London, Sadiq Khan mengumumkan untuk memperkenalkan caj ke atas kenderaan paling lama dan paling banyak menghasilkan pencemaran bagi memulihkan kualiti udara di kota raya itu.

    Dinamakan caj-T, cukai harian sebanyak £10 (RM55.64) itu mula dikenakan pada ke atas kenderaan enjin petrol dan diesel yang didaftarkan sebelum 2006 dan tidak memenuhi standard pengeluaran asap kenderaan dikenali sebagai Euro 4.

    Caj baharu itu dikenakan mulai pukul 7 pagi hingga 6 petang, sama seperti cukai kesesakan lalu lintas berjumlah £11.5 (RM64.20) yang dikuatkuasakan pada hari bekerja.

    Cukai tambahan itu mengakibatkan sebahagian pemilik kenderaan perlu membayar caj £21.50 (RM120) sehari untuk memandu di pusat bandar London.

    “Saya berhasrat mengambil tindakan segera bagi membantu membersihkan udara di London.

    “London berdepan skala krisis kesihatan awam memalukan dengan beribu-ribu kematian pramatang berlaku akibat pencemaran udara. Semua ini harus ditangani,” kata Sadiq.

    Langkah itu dilaksanakan selepas Mahkamah Tinggi Britain memutuskan bahawa United Kingdom gagal mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah berhubung pengeluaran gas nitrogen dioksida di sebalik usaha kerajaan memerangi pencemaran udara.

    Langkah baharu itu adalah sebahagian inisiatif bernilai £875 juta (RM4.8 bilion) oleh pejabat datuk bandar bagi menangani pencemaran udara di London di samping pengenalan Zon Emisi Ultra Rendah (ULEZ) pada 2019.

    Hampir 9,500 warga London menjadi mangsa kematian pramatang setiap tahun kerana pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, demikian kata kajian penyelidik King's College pada 2015. – Reuters/ mStar


    Subjects:

  • No Comment to " London Kenakan Caj Cemar Udara "