• Lokap Pintar Diperluas Ke Seluruh Negara

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah bilangan lokap yang menggunakan Sistem Teknologi Pelaporan Analitik Pemantauan Sendiri atau lokap pintar di seluruh negara berdasarkan lokasi dan jumlah tahanan.

    Sejak dilancarkan April tahun lalu, sebanyak 57 lokap di Lembah Klang dipasang dengan sistem berkenaan membabitkan kos RM3 juta termasuk lokap berpusat di Shah Alam.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata penggunaan sistem itu akan diperluaskan ke seluruh negara, bergantung peruntukan diterima daripada kerajaan.

    Sejak pemasangan sistem itu, katanya, bilangan kejadian tidak diingini dalam sel lokap menurun dan kalau pun berlaku, masa yang diambil oleh polis mendapatkan data bagi siasatan forensik jauh lebih singkat berbanding lokap yang cuma dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) konvensional.

    "Sekiranya peruntukan ada, lokap seperti Ipoh, Taiping, Georgetown dan Seberang Perai Tengah akan diberi keutamaan berdasarkan lokasi dan bilangan tahanannya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Terdahulu, Noor Rashid secara simbolik menerima sistem pengurusan lokap pintar daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya, sempena Ekspo Ekonomi Inovasi dan Kreatif Negara (NICE) 2017, hari ini.

    Sistem pengurusan lokap itu dibangunkan bersama antara Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (MIMOS) dan penyedia sistem keselamatan, STT Technologies Sdn Bhd.

    Noor Rashid berkata, pemantauan automatik melalui lokap pintar mengurangkan tenaga kerja bagi pusat kawalan, manakala ciri pencari pintar meningkatkan kecekapan proses pemantauan.

    Beliau berkata, sistem itu berupaya mengesan pergerakan luar biasa dan agresif di lokap menerusi pemantauan dari bilik khas. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lokap Pintar Diperluas Ke Seluruh Negara "