• Lipas ‘Jajah’ Pesawat, Penumpang Panik Takut

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    SEBUT sahaja serangga bernama lipas sudah pasti ada yang tergeliat geli tiba-tiba.

    Kebiasaannya pasti individu yang takut atau geli dengan lipas menjerit dan lari menjauhi serangga itu. Tapi kalau serangga tersebut dalam kuantiti yang besar macam mana pula ya?

    Jumaat lalu, dilaporkan lebih daripada 100 ekor lipas telah menjadi ‘penumpang’ bersama di dalam sebuah pesawat dua penerbangan antarabangsa.

    Insiden ini dipercayai terjadi dalam sebuah pesawat dari syarikat penerbangan China tempatan yang berlepas ke Kunming, China.

    Meskipun tiada pengesahan daripada China News Service, akhbar berpengaruh Hong Kong, South China Morning Post (SCMP) menyatakan pesawat terbabit berkemungkinan besar milik syarikat tempatan.

    Ia berdasarkan gambar keadaan pesawat yang diterima jelas mempunyai tulisan Cina. Kakitangan kawalan serangga dikerahkan ke tempat kejadian sejurus pesawat itu mendarat.

    Mereka berjaya mengeluarkan lipas-lipas tersebut dengan melakukan kaedah pengasapan ke seluruh pesawat itu.

    Menurut SCMP, serangga berkenaan dikenali sebagai lipas Jerman atau nama saintifiknya Blattella Germanica. Ia kini sedang dikaji oleh Kunming Changshui International Airport’s Entry-Exit Inspection dan Biro Kuarantin.

    Pemeriksaan itu dibuat untuk mengenal pasti jika terdapat sebarang bakteria atau virus dibawa oleh lipas-lipas berkenaan yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

    Ekoran insiden ini, kesemua syarikat penerbangan diminita untuk memperbaiki tahap kebersihan pesawat yang dimiliki mereka. Pihak berkuasa lapangan terbang itu turut memberi fokus kepada pesawat domestik.

    Mungkin tahap kebersihan pesawat tersebut tidak memuaskan dan menyebabkan lipas-lipas ini menjadikan pesawat itu sebagai tempat ‘tumpangan’ mereka.

    Diharapkan kesemua syarikat penerbangan di dunia mementingkan aspek kebersihan selain aspek keselamatan yang sentiasa menjadi keutamaan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Subjects:

  • No Comment to " Lipas ‘Jajah’ Pesawat, Penumpang Panik Takut "