• Lima suspek kes samun restoran di Balakong masih bebas

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    KAJANG - Polis sedang mengesan lima suspek lelaki yang didapati terlibat dengan kes samun di sebuah restoran di Taman Putra Budiman, Balakong di sini pada 18 Oktober lalu.

    Dua daripada suspek telah dikenal pasti sebagai lelaki bernama Cheong Chee Min,23 yang beralamat di Apartmen Seri Pulai,Jalan Balakong Jaya 26, Taman Balakong Jaya di sini manakala seorang lagi, R. Chandran, 31 yang beralamat di Taman Seri Pulai, Seri Kembangan, Selangor.

    Kejadian itu berlaku apabila enam lelaki bertindak memecahkan meja, kerusi serta cermin di restoran tersebut dan menyerang mangsa yang juga pemilik restoran itu.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, kesemua suspek turut mengambil wang tunai berjumlah RM500 daripada mangsa.

    “Mangsa cedera di kepala akibat dipukul dengan botol oleh salah seorang suspek sebelum kesemuanya melarikan diri.

    “Menurut saksi di tempat kejadian, suspek telah menaiki motosikal bagi melarikan diri ke destinasi yang tidak diketahui,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

    Ahmad Dzaffir menambah, berdasarkan risikan dan maklumat diperoleh, polis telah menahan seorang suspek di sebuah rumah pangsa di kawasan yang sama pada Ahad lalu.

    “Suspek berusia 40 tahun itu mempunyai kesalahan jenayah lampau melibatkan mencuri.

    “Suspek direman sehingga esok (hari ini) dan disiasat mengikut seksyen 394/427 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

    Tiga lagi suspek masih belum dikenal pasti dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan mereka. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Lima suspek kes samun restoran di Balakong masih bebas "