• Letupan Kilang Mercun: Suspek Ke-3 Lari

    Published: Sunday, 29 October 2017
    A- A+

    JAKARTA: Polis Indonesia menahan pemilik kilang mercun dan pengurus operasi premis itu kerana disyaki cuai hingga mengakibatkan berlaku letupan yang mengakibatkan 48 pekerjanya maut.

    Mereka disiasat kerana cuai di tempat kerja hingga menyebabkan kematian dan berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda Rp500 juta (RM155,807).

    Pemilik kilang, Indra Liyono telah dinamakan sebagai suspek bersama pengurus operasi, Andri Hartanto, manakala suspek ketiga iaitu operator peralatan pengimpal, Subarna Ega masih menghilangkan diri.

    “Keterangan saksi dan ujian forensik mendapati kebakaran berpunca daripada percikan api alat pengimpal yang merebak ke bahan membuat mercun,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono.

    Pasukan keselamatan itu juga menganggap ia adalah kemalangan industri terburuk di negara berkenaan.

    Kilang di Kosambi, Tangerang di tengah Jakarta itu baru enam minggu beroperasi sebelum ia terbakar pada Khamis lalu yang juga 45 lagi cedera.

    Polis berkata, syarikat Panca Buana Cahaya Sukses turut mengambil tiga pekerja kanak-kanak bawah umur dan kesalahan itu boleh menyebabkan kilang itu ditutup.-Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Letupan Kilang Mercun: Suspek Ke-3 Lari "