• Letak bayi di Baby Hatch Bukan Jenayah

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Ibu yang meletakkan bayi mereka di Baby Hatch tidak perlu bimbang kerana ia bukan satu perbuatan jenayah.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata sebaliknya, keselamatan dan kesihatan bayi mereka dijamin untuk mendapat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Katanya, bayi berkenaan juga akan ditempatkan bersama orang yang layak selepas melalui proses panel penempatan sesuai dan diputuskan mahkamah sebagai anak angkat.

    "Kerajaan menyediakan pusat Baby Hatch untuk ibu terdesak yang mempunyai anak tidak diingini supaya bayi mereka boleh diletakkan di tempat yang selamat.

    "Untuk tempoh Januari hingga September lalu, sebanyak 11 bayi berjaya diselamatkan. Untuk tempoh keseluruhan daripada 2010 hingga September 2017 sebanyak 43 bayi berjaya diselamatkan .

    "Ini menunjukkan peningkatan penggunaan baby hatch," katanya ketika menjawab soalan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-SIK), pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Azizah berkata, kerajaan menubuhkan lapan pusat Baby Hatch di Hospital KPJ, seluruh negara iaitu di Damansara, Kuala Lumpur, Johor Bharu; Pulau Pinang, Ipoh, Perak, Kelantan dan Kuantan, Pahang.

    Selain itu, katanya, Baby Hatch turut ditempatkan di tiga Pusat Perlindungan Orphan Care di Kuala Lumpur, Sungai Petani (Kedah) dan Johor Bharu.

    Sementara itu, Azizah berkata, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 59 kes buang bayi dilaporkan sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

    "Jumlah itu menunjukkan pembuangan bayi dikesan semakin meningkat saban tahun dengan jumlah keseluruhan pada 2013 sehingga Jun lalu adalah 478 kes.

    "Pada 2013 sebanyak 90 kes buang bayi dikesan, seterusnya meningkat pada 2014 dengan 104 kes, 2015 (111 kes) dan 2016 (115 kes)," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Letak bayi di Baby Hatch Bukan Jenayah "