• Lesen Khas Umrah Sudah Berkuat Kuasa 1 Oktober

    Published: Saturday, 7 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA – Lesen Khas Umrah (LKU), yang dilancarkan secara rasmi pada Selasa untuk semua agensi pelancongan pengendalian pakej Umrah dan Ziarah, berkuat kuasa mulai 1 Oktober lalu.

    Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) dalam kenyataan media di sini pada Jumaat berkata kumpulan pertama 25 buah syarikat telah diberi LKU bermula pada hari berkenaaan.

    “Pihak kementerian sedang memproses kelulusan bagi semua syarikat agensi pelancongan yang telah mengemukakan permohonan masing-masing sejak LKU dibuka untuk permohonan pada 20 September lepas.

    “Keputusan kelulusan lesen itu akan dimaklumkan secara rasmi melalui laman web di www.motac.gov.my dan pemakluman melalui surat rasmi kepada semua syarikat yang berjaya dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

    Dalam pada itu, Motac menyeru orang ramai supaya tidak panik untuk membuat pembatalan pakej dibeli kerana proses kelulusan sedang dijalankan terhadap 103 syarikat yang mengemukakan permohonan lesen berkenaan.

    Piagam pelanggan pemprosesan LKU adalah dalam tempoh 20 hari bekerja setelah dokumen lengkap diterima manakala pengecualian fi proses dan fi lesen diberikan kepada semua syarikat yang layak memohon sehingga 31 Disember ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lesen Khas Umrah Sudah Berkuat Kuasa 1 Oktober "