• Lemah Bahasa Punca Ramai Kaum Cina Cicir Sekolah

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Penguasaan bahasa Malaysia yang lemah serta sukar memahami sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu punca utama kira-kira 30 peratus daripada pelajar kaum Cina keciciran di peringkat sekolah menengah.

    Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Wang Hong Cai berkata, situasi itu berlaku akibat kesukaran dan kekangan mereka untuk menerima arahan serta berkomunikasi dalam bahasa Malaysia di sekolah.

    Katanya, di sekolah menengah, mereka bukan sahaja perlu bercampur dengan pelajar bukan Cina tetapi turut mempunyai masalah dalam menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran dalam bahasa Malaysia.

    “Masalah penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar yang bersekolah rendah di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kini semakin membimbangkan dan harus diambil perhatian serius.

    “Dianggarkan 50 peratus daripada pelajar SJKC menghadapi masalah bertutur dan memahami bahasa Malaysia dan ini akan menyusahkan diri mereka sendiri apabila ke sekolah menengah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

    Tambah Hong Cai, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina untuk melaksanakan satu program khas dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan murid di SJKC.

    “Kita tidak boleh menyalahkan SJKC yang hanya menumpukan soal akademik tanpa mengambil kira penguasaan bahasa kerana dasar kementerian sendiri yang meletakkan kedudukan sekolah berdasarkan pencapaian akademik.

    “Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, semua pihak perlu bekerjasama dan mengambil perhatian supaya akhirnya dapat menguntungkan semua pihak khususnya generasi baharu kita,” katanya.

    Menurut Hong Chai, antara sebab utama lain menyebabkan murid berbangsa Cina keciciran daripada sekolah menengah adalah kekurangan minat untuk te­rus belajar dan ingin mula bekerja bagi mendapatkan wang.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Lemah Bahasa Punca Ramai Kaum Cina Cicir Sekolah "