• Lelaki Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Matang

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Matang di sini malam tadi.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, kejadian kira-kira pukul 11.25 malam itu mengakibatkan mangsa, Kim Nam Nyoun, 27, meninggal dunia di lokasi kemalangan.

    Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan dalam perjalanan ke arah Matang dari pusat bandar raya ini.

    "Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga BLM tiba-tiba merempuh motosikal mangsa.

    "Impak rempuhan kuat mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala pemandu kereta itu melarikan diri," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, buat masa ini polis sedang mengesan pemandu serta pemilik kereta terbabit.

    Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk dibedah siasat.

    "Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya lagi. - K! ONLINE



  • No Comment to " Lelaki Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Matang "