• Lelaki Lacurkan 19 Wanita Asia Dipenjara

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    LONDON: Penjenayah kelahiran Malaysia, Hong Chin, 45, yang menjadi anggota kumpulan menyeludup 19 wanita Asia ke Britain dan memaksa mereka melacur di hotel. dipenjarakan empat tahun, kata pendakwa semalam.

    Chin, dijatuhi hukuman itu di Mahkamah Old Bailey, London, selepas disabitkan awal bulan ini atas beberapa tuduhan termasuk menyeludup untuk tujuan seks, mengawal pelacuran bagi mencari keuntungan dan memiliki hartanah jenayah.

    Chin mempunyai dua rakan subahat wanita, Li Wei Gao, 44, dan Ting Li Lu, dari China, yang disabitkan dengan jenayah sama tetapi hukuman mereka ditangguhkan sehingga minggu depan.

    Wanita yang diseludup mengiklankan perkhidmatan seks di laman web dan pertemuan dengan pelanggan diuruskan di hotel oleh anggota kumpulan itu, menurut Perkhidmatan Pendakwaan Britain (CPS).

    Kira-kira 400 bilik ditempah menggunakan butiran palsu antara Ogos 2013 sehingga Mac 2015, di hotel di England dan Wales, dengan pelanggan membayar secara tunai sebaik tiba.

    "Ini adalah operasi tersusun bertujuan menyeludup wanita menjadi pelacur seperti ditunjukkan pelbagai akaun bank yang pernah dikendalikan dan jumlah dana yang dihasilkan.

    "Sebaik wanita memasuki perangkap pelacuran hampir mustahil mereka untuk melarikan diri," kata peguam CPS, Kevin Thompson, dalam satu kenyataan.

    Operasi itu menghasilkan ratusan ribu pound dengan 88,000 pound (RM496,000) dibayar kepada satu akaun bank dan lebih 66,000 pound (RM369,000) kepada satu akaun lagi, kata CPS. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Lacurkan 19 Wanita Asia Dipenjara "