• Lelaki Dicakar Kucing Terkilan Dituduh Penjenayah, Kaki Pukul

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    Seorang lelaki yang gambarnya tular di laman sosial, menunjukkan wajah dia cedera akibat dicakar kucing melahirkan rasa terkilan kerana dilemparkan pelbagai tuduhan dan kata-kata kesat oleh netizen susulan kejadian tersebut.

    "Ada yang maki saya kerana mungkin mereka ingat saya dera kucing. Bobo (kucing) saya pelihara sejak kecil seperti anak sendiri, memang tak pernah pukul.

    "Macam-macam fitnah dilempar, kata saya pukul Bobo, saya ini penjenayah, bergaduh dengan isteri. Memang tak sedap dibaca," kata WR Irman Karman memetik Harian Metro, hari ini.

    Menceritakan mengenai insiden tersebut, bapa kepada dua orang anak itu berkata kejadian berlaku pada 7.15 pagi, 30 September lalu ketika dia berseorangan di rumahnya di Taman Seruling Emas, Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    Katanya, kucing peliharaannya bernama Bobo telah bergaduh dengan kucing jiran dan berlari masuk ke rumah, yang pada masa sama dia sedang berbaring di ruang tamu sebelum mukanya dicakar.

    “Saya tekup muka dengan kain kerana darah tidak berhenti menitis dan terus menunggang motosikal sendirian ke Hospital Sungai Bakap yang terletak 6 kilometer (km) dari rumah.

    “Saya terkejut dicakar, sedikit lagi nak kena mata,” katanya seperti dilapor akhbar tersebut.

    Tambah WR Irman, dia tidak menyalahkan kucing peliharaannya susulan insiden tersebut dan bernasib baik kerana cakaran tersebut tidak terkena mata.

    Katanya lagi, mujurlah ketika insiden berlaku dua anaknya tiada di rumah memandangkan anaknya itu gemar bermain dengan kucing jantan berusia tiga tahun itu.

    "Pada saya kejadian ini tidak disengajakan, biasalah kalau kucing bergaduh. Lagipun, doktor sudah berikan dua suntikan untuk mencegah jangkitan dan saya diberi cuti sakit selama enam hari.

    "Alhamdulillah, luka semakin pulih, tetapi masih perlu bertemu doktor untuk rawatan susulan," kata lelaki berusia 35 tahun itu yang bertugas sebagai pemandu ambulans.

    Difahamkan, Bobo adalah kucing rumah dan jarang sekali keluar di kawasan hadapan parkir rumah WR Irman. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Dicakar Kucing Terkilan Dituduh Penjenayah, Kaki Pukul "