• Lelaki Bunuh Jutawan Dihukum Gantung

    Published: Sunday, 1 October 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Seorang pencuci kapal laut dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan yang juga jutawan dengan menikam mangsa sebelum membakar mayatnya, tiga tahun lalu.

    Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Izwanuddin Kasim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir pembelaan.

    Dalam penghakimannya, beliau berkata, keterangan tertuduh ketika perbicaraan membela diri hanya bergantung kepada keterangan yang dikemukakan oleh seorang saksi pendakwaan yang sebelum itu turut dituduh bersama-sama.

    Selain itu, katanya, tertuduh yang bekerja di Singapura ialah orang terakhir atau satu-satunya individu yang bersama-sama mangsa sepanjang kejadian itu bermula dari pertengkaran di perumahan mangsa di Johor Bahru sehingga ke tempat pembakaran mayat di kebun sawit di Batu Pahat.

    "Mahkamah sudah meneliti sepenuhnya keterangan saksi pendakwaan serta hujahan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    "Walaupun tiada keterangan mana-mana saksi yang menyatakan tertuduh menikam mangsa, tetapi apa yang dilihat ialah keterangan mengikut keadaan yang mana di setiap lokasi kejadian dari Johor Bahru ke Batu Pahat, tertuduh berada bersama-sama mangsa sepanjang masa.

    "Terdapat keterangan saksi yang menyatakan senjata buku lima yang mempunyai sebilah pisau lipat berada dalam pegangan tertuduh sepanjang kejadian sekaligus ia sepadan dengan keterangan pakar patalogi yang mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman di dada yang menembusi jantung oleh objek tajam," katanya.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Izwanuddin didakwa bersama-sama Noriskandar Zainal Yahya yang juga warga Singapura, membunuh Yong Boon Cheong yang berusia 54 tahun ketika kejadian di sepanjang Jalan Skudai, Danga Bay, di sini antara 6 pagi hingga 7 pagi, 4 Julai 2014.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, ketika perbicaraan yang bermula Mac 2015, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Noriskandar mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana membantu melupuskan mayat dan lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

    Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini mengemukakan 28 saksi pendakwaan dan tertuduh yang diwakili peguam Nor Shahid Abd Malik dan Mohd Salihin tampil sebagai saksi pembelaan.

    Selepas dijatuhkan hukuman, tertuduh dilihat menangis di kandang tertuduh sambil dipujuk oleh rakan-rakannya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Bunuh Jutawan Dihukum Gantung "