• Lebih 7,000 penduduk Rakhine di Myanmar diberikan kad pengenalan

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+
    gambar hiasan

    HANOI - Lebih 7,000 penduduk Rakhine, Myanmar diberikan kad pengenalan sejak pihak berkuasa tempatan memulakan proses pengesahan pada 1 Oktober, menurut agensi berita Vietnam (VNA) memetik media rasmi.

    Proses pengesahan itu, antara cadangan dikemukakan suruhanjaya penasihat yang diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan.

    Agensi Berita Myanmar melaporkan, proses pengesahan menggunakan kaedah biometrik itu, adalah langkah pertama ke arah menjalankan penelitian terhadap perihal kewarganegaraan, menurut Undang-Undang Kewarganegaraan 1982.

    Pengarah Jabatan Imigresen dan Penduduk Rakhine, U Aung Min, dipetik sebagai berkata, proses berkenaan dijalankan di kawasan yang stabil.

    Sementara itu, Myanmar menubuhkan sembilan pasukan kerja sektor swasta untuk menyertai mekanisme Kesatuan Bantuan Kemanusiaan, Penempatan Semula dan Pembangunan di Rakhine, dipengerusikan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi.

    Penubuhannya bagi membolehkan organisasi kerajaan, tempatan dan antarabangsa bekerja dalam semua sektor masyarakat untuk pembangunan Rakhine.

    Tugas utamanya ialah, mengembalikan pelarian yang melarikan diri ke Bangladesh, menyediakan bantuan kemanusiaan dengan berkesan; penempatan semula dan pemulihan; dan membawa pembangunan serta keamanan berkekalan di rantau itu.

    Kerajaan juga bersedia untuk melaksanakan proses pengesahan dan pengembalian, mengikut kriteria dipersetujui dalam satu kenyataan bersama antara Kementerian Luar Myanmar dan Bangladesh pada 1992.

    Lebih 600,000 muslim Rohingya di Myanmar melarikan diri ke Bangladesh, sejak kerajaan negara itu melancarkan operasi pembersihan selepas militan menyerang balai polis di Rakhine pada 25 Ogos. - Bernama


    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 7,000 penduduk Rakhine di Myanmar diberikan kad pengenalan "