• Lebih 300,000 Jalani Saringan TB

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah menjalankan lebih 300,000 saringan penyakit tuberkulosis (TB) atau batuk kering di seluruh negara bagi mengekang penularan penyakit itu.

    Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata saringan berkenaan sudah mula dilakukan sejak awal tahun ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai risiko tinggi.

    Katanya, saringan itu adalah sebagai langkah awal untuk mengesan pesakit Tibi supaya rawatan awal dapat diberikan dan mengurangkan penularan kepada individu lain.

    "Setiap tahun, secara purata sebanyak 23,000 kes membabitkan penyakit tibi dilaporkan dan jangkitan kes dalam kalangan pelajar sekolah boleh diklasifikasikan sebagai jarang berlaku," katanya mengulas dakwaan tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Subang Jaya dijangkiti TB.

    Berhubung perkara itu, katanya, pihak Kementerian Kesihatan belum mendapat sebarang laporan mengenainya dan sekiranya benar, pihaknya akan memberi rawatan sepenuhnya serta diperlukan kepada pelajar yang terbabit.

    "Untuk mengekang penularan penyakit TB di negara ini, kita berikan suntikan vaksinasi BCG kepada bayi baru dilahirkan dan seterusnya di sekolah.

    "Pesanan saya kepada ibu bapa, jika anak batuk dan tidak sembuh dalam dua minggu selepas mendapatkan ubat atau rawatan, sebaiknya mereka perlu membuat saringan TB supaya ia dapat dikesan lebih awal.

    "Jika semua pihak dan ibu bapa lakukan perkara ini, kita dapat kurangkan penularan penyakit itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Terdahulu, Subramaniam menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

    Ketika berucap pada majlis itu, katanya warga kementerian berkenaan perlu menjadi duta dan pemudah cara selain memberikan mesej dan penerangan terbaik kepada rakyat sekiranya wujud penularan berita berkenaan kementerian itu yang boleh menimbulkan kegusaran rakyat.

    "Sebagai contoh, isu penggunaan semula peralatan perubatan perubatan di hospital kerajaan, kita sudah jelaskan ia mengikut piawaian antarabangsa, prosedur tertentu seperti disteril terlebih dulu dan sentiasa mengutamakan keselamatan pesakit.

    "Malah konsep itu sudah lama diamalkan di negara ini, dan tiada kaitan dengan kemampuan kewangan sektor kesihatan.

    "Beri penerangan yang jelas dan betul supaya sistem kesihatan kita sentiasa diyakini rakyat, jangan bagi mesej yang salah yang akhirnya akan membuat rakyat takut," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 300,000 Jalani Saringan TB "