• Lawatan Najib Ke Rumah Putih Manfaatkan Washington, KL

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) dan Rumah Putih baru-baru ini terbukti telah memanfaatkan kedua-dua negara itu, kata seorang bekas pegawai presiden AS.

    Ned Ryun, bekas penulis bagi Presiden George W. Bush, berkata hanya Presiden AS Donald Trump dan para penasihat dasar asingnya yang memahami tentang mustahaknya menjalinkan kerjasama dengan seorang pemimpin serantau yang berpengaruh dalam melaksanakan agenda strategik yang penting bagi AS dan Malaysia serta sekutu lain di rantau itu.

    "Daripada berlemah lembut dengan diktator dan pengganas yang sekadar bercakap kosong di Rumah Putih, kami mempunyai satu pentadbiran yang sanggup bekerjasama dengan pemimpin yang sedia menjalinkan kerjasama dengan Amerika Syarikat, bagi mencapai kesepakatan yang saling memanfaatkan," katanya dalam satu artikel yang disiarkan di American Greatness, satu daripada saluran media AS.

    Artikel itu, yang bertajuk 'Trump's Malaysia gambit: Call it another win', turut menampilkan gambar Najib dan Trump yang saling tersenyum di Rumah Putih pada 12 Sept lepas, semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia itu ke Washington DC.

    Ryun berpendapat Pentadbiran Trump mempunyai dua matlamat dengan Malaysia iaitu memantapkan persahabatan Washington-Kuala Lumpur dan mengukuhkan lagi peranan penting yang boleh dimainkan Malaysia di rantau itu sebagai rakan strategik utama AS.

    "Najib datang ke Washington dengan harapan untuk memperkukuh perkongsian ekonomi dan strategik Malaysia dengan Amerika Syarikat, dan beliau pulang selepas mencapai matlamat berkenaan," katanya.

    Menurutnya lawatan Najib ke AS telah menghasilkan perniagaan dan pelaburan yang bernilai berbilion dolar dengan entiti AS.

    Beliau menarik perhatian bahawa Trump dan Najib turut komited untuk mengusahakan perjanjian perdagangan yang dapat melonjakkan lagi ekonomi kedua-dua negara. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lawatan Najib Ke Rumah Putih Manfaatkan Washington, KL "