• Laskar Kanan Didakwa Bunuh Dua Anggota TLDM

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+

    LUMUT - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung dekat sini hari atas tuduhan membunuh dua Laskar Kelas 1 TLDM di Bilik Tahanan Unit (BTU) TLDM Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini bulan lalu.

    Laskar Kanan Muhd. Izhrifikri Roslee, 29, dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di antara pukul 10.30 pagi hingga 3.20 petang, 29 September lalu.

    Tertuduh yang merupakan pengawal bilik tahanan tersebut didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Padang Latihan Bilik Tahanan Unit (BTU) TLDM Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini.

    Muhd. Izhrifikri juga didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Lailaltuiman Mohd.Sukri, 26, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

    Ketua Unit Pendakwa Perak, Yusaini Amer Abd. Karim mengemukan kedua-dua tuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Seksyen 302 akta tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Muhd. Izhrifikri dilihat hanya menganggukkan kepala tanda memahami pertuduhan sebaik kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Syaqira Ibrahim.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhd. Izhrifikri .

    Mahkamah menetapkan 12 Disember depan untuk sebutan semula kes tersebut.

    Sementara itu, dua lagi Laskar Kanan TLDM, Hamzah Zakaria, 35, dan Mohd. Farid Musa, 32, yang juga bertugas sebagai pengawal bilik tahanan didakwa atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailaltuiman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Laskar Kanan Didakwa Bunuh Dua Anggota TLDM "