• Lahirkan Tenaga Pakar Bidang Aeronautik

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    MELAKA: Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) terus mengorak langkah dengan bekerjasama Akademi Latihan Penerbangan Malaysia (MATA) bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang aeronautik.

    Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi, berkata kerjasama itu bakal membuka peluang di rantau ini bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kepakaran dalam bidang penerbangan.

    "Ini langkah positif KAYM merealisasikan hasrat institusi sebagai pusat latihan yang menawarkan tenaga pakar dalam bidang penyelenggaraan enjin pesawat kepada syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

    "Kerjasama membabitkan aspek latihan kemahiran dan kepakaran kepada bakal jurutera penyelenggaraan pesawat dan menjadi platform kerjasama antara kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

    Saroni berkata, pelajar berpeluang mengikuti kursus Lesen Jurutera Penyelenggara Pesawat (AMLE), menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman semasa menjalani latihan praktikal (On-Job-Training) di akademi itu.

    "Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera penerbangan berlesen. Justeru, KAYM berazam menggalas peranan memberi pendidikan dan latihan kepada bakal juruteknik dan jurutera pesawat.

    "Industri penerbangan, terutama sektor penyelenggaraan dan pembaikan sentiasa memerlukan tenaga kerja yang dinamik, berkemahiran dan profesional untuk menangani pertumbuhan pesat industri itu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lahirkan Tenaga Pakar Bidang Aeronautik "