• Lahir Anak Tepi Jalan Antara Cabaran Pelarian

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    SARAT mengandung 9 bulan, Rasida tahu beliau dan beribu-ribu lagi pelarian wanita yang hamil mungkin terpaksa melahirkan pada bila-bila masa.

    Tidak dinafikan lagi, sesetengah pelarian hamil menghadapi kemungkinan atau telahpun melahirkan anak di tepi jalan.

    Agensi dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir 150,000 pelarian wanita subur berusia 15 hingga 49 tahun melarikan dari Myanmar.

    Dari jumlah tersebut, sekurang-kurangnya 24,000 wanita dianggarkan sedang hamil.

    Jurugambar BBC, Salman Saed cuba menyelami antara cabaran lain yang dihadapi oleh pelarian etnik Rohingya di Bangladesh.

    Lebih 600,000 telah melepasi Bangladesh

    Duta Bangladesh di PBB mengatakan lebih 600,000 etnik Rohingya sudah menyeberangi sempadan, menyertai lebih 300,000 lain yang tiba lebih awal di Bangladesh sebelum Ogos.

    Kebanyakan dari mereka mengalami kebuluran, kepenatan, trauma dan hampir sebahagian besar dari mereka membawa kanak-kanak.

    Kemungkinan terbunuh akibat periuk api.

    Pakar di PBB mengatakan 'kemungkinan besar' tentera Myanmar sempat menanam periuk api di sekeliling sempadan.

    Jika ianya benar, pelarian bukan sahaja berhadapan bahaya mati kebuluran, tetapi maut akibat letupan.

    Pemerhati antarabangsa mengatakan sesetengah pelarian mengambil masa tiga minggu berjalan kaki untuk tiba di kem pelarian Kutupalong di Bangladesh.

    Antara jalan yang menjadi pilihan untuk melarikan diri dari Rakhine adalah melalui sungai Naf.

    Yang lain memilih jalan laut.

    Beratus-ratus maut akibat lemas.

    Laporan Dhaka Tribune mengatakan sebanyak 28 bot membawa pelarian Rohingya telah terbalik dan tenggelam sejak 24 Ogos.

    Selain mengorbankan sejumlah 184 mangsa, wanita dan kanak-kanak merupakan paling ramai mati akibat lemas.

    Bot-bot pelarian selalunya sesak dan sentiasa menghadapi risiko terbalik. Tidak ramai pelarian yang tahu berenang.

    Hidup dikelilingi lumpur dan najis.

    Menghampiri kem, pelarian boleh menyaksikan sendiri kem-kem buatan sendiri di tepi jalan dan bukit di sekeliling Cox's Bazaar.

    Kem tersebut penuh lumpur, basah dan sesak sambil dihimpit masalah ketiadaan sumber air bersih dan sanitasi yang menyedihkan.

    Keadaan hujan pula hanya menterukkan lagi keadaan, selain menambah risiko penyakit seperti kolera berleluasa.

    Pelan sementara Bangladesh dan Palang Merah.

    16 Oktober lepas, agensi Palang Merah membuka hospital kecemasan yang memuatkan lebih 60 katil.

    Kawasan tersebut yang seluas dua padang bola sepak juga mempunyai tiga wad, sebuah wad bedah, wad bersalin dan unit sokongan psychososial.

    Bangladesh pula baru-baru ini mengumumkan untuk membina sebuah kem yang mampu memuatkan lebih 800,000 pelarian Rohingya.

    Jika pelan tersebut terlaksana, kem tersebut bakal menjadi kem pelarian terbesar di dunia. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Lahir Anak Tepi Jalan Antara Cabaran Pelarian "