• Labuan Jadi Tumpuan Pelancong

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Pulau Labuan yang asalnya adalah sebahagian dari Sabah sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan kedua pada 1 Februari 1984.

    Ini meletakkan Labuan di bawah pentadbiran persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan. Langkah strategik seterusnya diambil dengan mengisytiharkan Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC) pada tahun 1990. Kelebihan Labuan menjadikan ia berpotensi besar sebagai sebuah destinasi pelancongan.

    Pelbagai tarikan terdapat di Labuan, samada dari segi pelancongan atau perniagaan. Pusat Beli Belah Bebas Cukai adalah katalis ekonomi utama di Labuan.

    Kepada para pelancong, tempat seperti Ujana Kewangan dan Sky Mart Duty Free yang menawarkan pelbagai barangan adalah destinasi utama jika ke Labuan.

    Penerbangan ke Lapangan Terbang Labuan sekerap empat kali sehari adalah dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu. Selain dari pengangkutan udara, para pelancong boleh mengunjungi Labuan dengan menaiki perkhidmatan bot ekspress tiga kali sehari pergi balik dari Terminal Feri Serasa, Muara, Brunei ke Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan.

    Perkhidmatan bot ekspress dua kali sehari pergi balik dari Sabah juga disediakan melalui Kota Kinabalu, Lawas, Sipitang dan Limbang di Sarawak atau bot ekspres dari Menumbok, Sabah.

    Para pelancong juga dihidangkan dengan destinasi memancing bertaraf dunia di sekitar kepulauan Labuan serta aktiviti menarik di Kompleks Sukan Air Antarabangsa.


    Labuan juga terkenal sebagai destinasi aktiviti menyelam ‘scuba’ dan ‘snorkeling’.

    Terdapat enam buah pulau kecil di sekitarnya iaitu Pulau Daat, Pulau Papan, Pulau Burung, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar.

    Pantai Pancur Hitam, Pantai Layang-Layangan dan Pantai Batu Manikar adalah tiga buah pantai-pantai berdekatan di Labuan. Air yang jernih dan persisiran pantai yang memutih menjadikannya destinasi popular.

    Malah pantai pantai tersebut pernah dianugerahkan ‘United Nation COBSEA Clean Beach Award’ pada tahun 2008 dan 101 The Most Beautiful Beaches in Southeast Asia pada tahun 2015.

    Labuan juga terkenal sebagai destinasi aktiviti menyelam ‘scuba’ dan ‘snorkeling’. Terdapat beberapa buah pusat menyelam bertaraf antarabangsa yang ditadbir oleh Jabatan Taman Laut Labuan.

    Antara yang terkini adalah penemuan tapak selaman Vernon Bank, kira kira 40 batu nautika ke utara Pulau Labuan.

    Selain itu terdapat tapak selaman kapal karam yang terbaik di Asia seperti Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck.

    Pelancong juga boleh melawat Muzium Marin Labuan yang mempamerkan replika dan rangka hidupan laut selain dari akuarium yang menyimpan pelbagai khazanah hidupan laut.

    Satu lagi tarikan, Muzium Chimney pula terletak di suatu kawasan tinggi di Tanjung Kubong. Dengan bata merah tersusun 106 kaki tinggi, ia dikaitkan dengan zaman perlombongan Labuan kerana dibuat dari lebih 23,000 bata merah yang diimport dari England dan struktur ini merupakan stail British yang biasa ditemui.


    Pelancong juga boleh melawat Muzium Labuan untuk mengetahui latarbelakang sejarah Labuan.

    Peringatan tentang Perang Dunia Kedua boleh dilihat di ‘Surrender Point’ dan Taman Damai atau ‘Peace Park’ berhampiran Pantai Layang-Layangan.

    Taman ini dibina sebagai taman peringatan dan penolakan terhadap kenegerian perang. Ia terdiri daripada tugu peringatan yang dikelilingi oleh taman-taman yang indah dan tiang-tiang.

    Terdapat juga Taman Peringatan Perang Dunia Kedua yang terletak di Jalan Tanjung Batu. Taman indah ini merupakan tempat pengebumian 3908 pahlawan-pahwalan perang yang terkorban semasa penawanan di Borneo sewaktu Perang Dunia Kedua.

    Taman Burung dengan kubah sangkar gergasi kembar tiga terletak berhampiran Tanjung Kubong. Dengan pemeliharaan mukabumi dan tumbuhan semulajadi, taman ini menyimpan hampir 580 jenis spesis burung samada di dalam kurungan atau bebas berterbangan di dalam sangkar gergasi tersebut.

    Taman Botani Labuan yang dulunya merupakan lokasi Rumah Kerajaan juga merupakan salah satu tarikan buat pengunjung.

    Taman ini mengalami banyak perubahan sejak ia wujud pada tahun 1852. Turut dikenali sebagai Bumbung 12, rumah tersebut merupakan struktur yang panjang dan rendah dengan rekaan atap yang menarik.

    Pendek kata, begitu banyak sekali tarikan pelancong di Labuan sebenarnya. Segala aset alam semulajadi, infrastruktur dan perancangan strategik yang terdapat di Labuan menjadikan ia berpotensi sebagai destinasi pelancongan dan pemangkin ekonomi yang pesat di Malaysia. – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Labuan Jadi Tumpuan Pelancong "