• Kurung 11 Warga Asing Selama 3 Tahun, Suami Isteri Ditahan Di Bintulu

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+
    foto ihsan Polis

    BINTULU: Polis Bintulu menahan sepasang suami isteri ekoran penemuan 11 warga Indonesia di sebuah rumah teres di Taman Heng, Jalan Sebiew dekat sini petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, serbuan yang dijalankan sekitar jam 2.45 petang semalam di sebuah rumah selepas menerima maklumat dari orang awam mengenai pemerdagangan manusia.

    Serbuan yang diketuai oleh Inspektor Nixon Malang ke atas rumah berkenaan menemui sembilan  wanita berumur antara 18 hingga 40 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 44 tahun ditemui dikurung dalam sebuah bilik kecil yang dikunci dari luar.

    “Hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa dikurung selama tiga tahun tanpa diberi gaji dan mengadu dipukul oleh suspek.

    “Mereka juga dipaksa membersih sarang burung dan tidak dibenarkan keluar” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

    Jelas Dev, ketika serbuan dijalankan, pasangan suami isteri masing-masing berusia 59 dan 53 tahun itu mula bertindak agresif mengugut anggota polis yang bertugas serta mengeluarkan kata-kata lucah.

    Sehingga berita ini ditulis, kesemua 11 warga Indonesia terbabit dihantar ke rumah perlindungan dan kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Bintulu pagi ini untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).- Sarawakiana


  • No Comment to " Kurung 11 Warga Asing Selama 3 Tahun, Suami Isteri Ditahan Di Bintulu "