• Kubur Nur Aliya Syifa Dikorek Hari Ini

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan kes seorang kanak-kanak lima tahun maut akibat dada tertusuk serpihan batu pengasah mesin rumput yang diasah bapanya di Kubang Rotan, di sini, Jumaat lalu, atas kesalahan cuai hingga menyebabkan kematian.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata pihaknya sudah memperoleh perintah mahkamah untuk mengorek semula kubur kanak-kanak itu bagi memenuhi proses siasatan.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    "Proses mengorek kubur terbabit akan dilakukan pagi esok dengan dihadiri pakar patologi untuk bedah siasat semula.

    "Selepas siasatan selesai, kita akan serahkan dokumen siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya di sini, malam ini.

    BH hari ini melaporkan Nur Aliya Syifa maut selepas dadanya tertusuk serpihan batu pengasah mesin rumput yang diasah bapanya, di Kubang Rotan, di sini, Jumaat lalu.

    Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang apabila bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Murad, 40-an berada di luar rumah bagi mengasah mata pisau mesin rumput di rumahnya di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan.

    Selepas kejadian itu, Murad membawa anaknya yang berlumuran darah dan lemah ke Klinik 1Malaysia sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan disahkan meninggal dunia.

    Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Besar, jam 11 pagi semalam. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kubur Nur Aliya Syifa Dikorek Hari Ini "