• Kritikan Mahathir Mengenai Bajet Kurang Jelas Dan Tidak Konsisten - Salleh

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    Pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Bajet 2018 kurang jelas dan tidak konsisten, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    "Ini yang berlaku apabila seseorang bercakap hanya semata-mata hendak bercakap, tetapi tidak ada apa yang mahu dinyatakan," katanya dalam catatan terbaharu blog beliau.

    Salleh turut mempersoalkan rungutan Dr Mahathir bahawa bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya semata-mata untuk memuaskan hati rakyat dan menggembirakan mereka.

    "Tetapi bukankah ini apa yang kerajaan mesti lakukan; membuat rakyat gembira? Sampai bila sesebuah kerajaan yang tidak membuat rakyatnya gembira akan dapat bertahan?," tanya beliau.

    Mengenai keraguan Dr Mahathir tentang bagaimana kerajaan akan membayar kos untuk mentadbir negara jika apa yang kerajaan lakukan adalah semata-mata menyalurkan sumbangan kepada rakyat, Salleh berkata "Bagimanapun bukankah ini apa yang pembangkang rungutkan; bahawa kerajaan tidak menjaga keperluan kewangan rakyat dan rakyat menderita di bawah kerjaan Barisan Nasional."

    "Kemudian, apabila kerajaan mengambil berat keperluan kewangan rakyat dalam Bajet 2018, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak tahu bagaimana wang itu akan diperoleh dan merungut kerajaan perlu meminjam lebih banyak wang," katanya.

    Salleh turut mempersoal manifesto Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan semua caj tol di seluruh Malaysia serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), selain pelbagai jenis cukai lain.

    "Jika ini dilakukan, bagaimanakah kerajaan akan membelanjakan untuk pembangunan? Kemudian mereka menyatakan mereka boleh mendapatkan kembali wang tersebut dengan mengurangkan ketirisan dan menghapuskan rasuah.

    "Berapa banyakkah apa yang dikatakan ketirisan dan rasuah itu? Bagaimana mereka boleh mendapatkan angka itu sedangkan mereka tidak tahu butirannya. Menyatakan kerajaan akan mengurangkan cukai dan kemudian mendapatkan semula cukai yang hilang itu melalui penjimatan sama sekali tidak masuk akal," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kritikan Mahathir Mengenai Bajet Kurang Jelas Dan Tidak Konsisten - Salleh "